Thursday, June 30, 2011

Ada Apa Di Bilik Pengetua?

Bukan. Soalan itu bukan berkaitan elemen fizikal: benda, barang, alat atau peranti. Bagiku, menghias, 'upgrade', mengecat semula, menukar itu ini di bilik pengetua adalah dalam kedudukan yang terakhir dalam senarai.

Ada benarnya juga apabila pengetua melakukannya untuk memberi keselesaan, ketenangan minda untuk bekerja dengan motivasi atau "ummph" atau 'zest'. Kurangkan stress apabila balik ke bilik selepas menyelesaikan tugas yang meletihkan. Bilik pengetua sedemikian akan menjadi satu tempat rehat, berundur atau 'retreat' yang mampu mengecas semangat, menyuntik tenaga baru.

Tapi aku jarang berada lama di bilik. Jika ada pun, untuk berunding atau menyiapkan laporan atau menandatangan dokumen yang bertimbun.

Orang lebih berminat nak tahu apa yang sedang berlaku apabila "pelanggan" masuk ke bilik bersama isu hangat, masalah besar-besar, perkara serius-serius atau seumpamanya. Ada yang sulit, rahsia, FYEO (For Your Eyes (& Ears?) Only)dan ada yang biasa-biasa, mengujakan, menyeronokkan dan juga lucu.

Sebelum cuti Jun yang lalu aku pernah menceritakan kepada Mesyuarat Pengurusan bagaimana aku menyediakan diri secara mental dan spiritual sebelum menghubungi (telefon) penjaga yang tidak puas hati dengan insiden tertentu di sekolah. Reaksi pertama terima berita sensasi biasanya terkejut ('shock' - jarang yang syok) yang diikuti dengan cubaan memahami situasi, mohon maaf (jika patut), melahirkan rasa kesal, meringkaskan tindakan atau proses yang akan diambil, janji menghubungi semula untuk memberi maklum balas secepat yang munasabah dan terima kasih kerana membantu sekolah.

Semua reaksi tersebut amat penting bagiku dan mesti disampaikan setulen dan seyakin mungkin. Dalam ayat-ayat ringkas dan tepat. Berpura-pura, mengelak,berbohong dan seumpamanya yang tak tulen akan segera atau kemudiannya diketahui juga. Jangan nak memandai bercakap atau berjanji yang tak dapat ditunaikan!

Suasana bilik pengetua akan lebih hangat jika yang datang itu menyinga atau "merimau". Dato' A Rahim Noh (mantan pengetuaku dan Pengarah JPNP)pernah berpesan agar pelanggan yang masuk ke sekolah dalam keadaan marah akan kemudiannya keluar dengan senyum (puas hati). Pengalamanku membuktikan bahawa ada yang mudah, sukar dan ada yang gagal dilaksanakan. Tergantung pun ada. Gantung tak bertali, salai tak berapi kata orang dulu-dulu.'Undecided'. Rumusannya seperti kata orang saham:"Ditutup bercampur-campur".'Win most and lose some'. Jangan terpedaya, ada kalanya di hadapan kita nampaknya selesai tetapi tidak demikian. Orang mungkin segan dan menghormati kedudukan pengetua, tetapi itu tidak menjamin kepuasan hati mereka.
Beberapa hari lalu, 3 murid dihantar masuk ke bilikku. Senarionya tak sehebat berdepan dengan ibu bapa atau penjaga tetapi tetap memerlukan semangat dan stamina. Tiada yang boleh dipandang ringan. Lebih-lebih lagi pelanggan yang tidak puas hati ialah guru-guru kita yang gigih dan prihatin. Kesnya?

Bersambung...

Thursday, June 2, 2011

Moh menulis!!!

Maksimum 4 muka sahaja.
Mari kita berkongsi pengalaman amalan kepengetuaan kita di sekolah. MPSM Cawangan Pahang sedang berusaha menerbitkan buku yang menghimpunkan sebahagian amalan terbaik ('best practices') Pengetua Pahang. Setakat ini hanya 2 sahaja yang sampai ke meja editor Biro Penerbitan. Memang diakui agak sukar untuk mendorong para Pengetua menulis walaupun format paling ringkas telah diberi sebagai contoh (sebahagian contoh ialah daripada Majlis Pengetua Kanan Kebangsaan).

Contoh format yang dipetik adalah gabungan 2 Pengetua: Pn Hajah Rosidah bt Kamaludin, Pengetua
SMK Orang Kaya Haji, Kuala Lipis dan Pengetua SMK Bukit Rangin Kuantan. Harapnya ini akan membantu memberi cetusan idea.... Kita akan terbitkan sempena Perayaan Hari Guru 2011.

TAJUK:
PROGRAM PENINGKATAN KEDATANGAN MURID

Oleh:
ABDUL RAHIM BIN MOHD YUNUS
PENGETUA
SMK BUKIT RANGIN KUANTAN PAHANG

1.0 ABSTRAK :
Masalah utama berkaitan pengurusan hal ehwal murid di SMK Bukit Rangin (SMKBR) ialah ponteng sekolah. Keadaan ini dikenalpasti sebagai salah satu faktor utama yang menghalang kecemerlangan murid. Pada tahun 2009, SMKBR yang disenaraikan sebagai calon Sekolah Harapan Negara (SHN) gagal melepasi penilaian peringkat awal. Keperluan asas penilaian SHN ialah sekolah yang dicalonkan harus mencapai kadar sekurang-kurangnya 95% kedatangan murid bagi tahun-tahun yang dinilai. Kesan daripada pengalaman tersebut telah meningkatkan lagi tekad SMKBR untuk meningkatkan peratus kedatangan murid. Usaha meningkatkan kadar kedatangan murid ini merupakan program bersepadu pasukan sekolah yang terdiri daripada Jawatankuasa Hal Ehwal Murid dan guru-guru. Program ini telah menunjukkan kesan yang positif setelah dinilai pada hujung tahun 2010.

2.0 PENGENALAN
SMKBR ialah sekolah di pinggir bandar Kuantan berstatus sekolah luar bandar. Peratus kedatangan tahunan muridnya tidak pernah mencapai 90% semenjak diasaskan pada tahun 2001. Kesedaran untuk mengurangkan masalah ini dibincangkan dengan serius dalam Mesyuarat Pengurusan sekolah. Analisis persekitaran yang dilakukan turut menunjukkan bahawa kelemahan ini menjadi sebahagian faktor yang menghalang peningkatan kecemerlangan umum atau GPS; khususnya bagi kelas-kelas peperiksaan. Justru, isu ponteng sekolah mesti ditangani secara bersungguh-sungguh dan bersepadu. Program ini memerlukan perhatian khusus Pengetua, GPK Hal Ehwal Murid, Guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah, Guru Tingkatan, dan semua guru selaku guru disiplin.

3.0 RASIONAL
3.1 Ponteng sekolah sering dianggap sebagai masalah biasa bagi sekolah harian seperti SMKBR. Isu strategik ini akan menjejaskan prestasi dan reputasi sekolah sebagai institusi pendidikan jika tidak ditangani.
3.2 Guru-guru yang bermotivasi dalam aspek pembelajaran dan pengajaran pun akan luntur semangat mereka jika murid ponteng secara berterusan.
3.3 Program mengurangkan masalah ponteng mesti dilaksanakan secara sedar untuk mewujudkan suasana sekolah peka kepada isu kritikal yang menyumbang kepada kecemerlangan.
3.4 Usaha ini akan menyebarkan mesej jelas kepada guru, murid, ibu bapa dan warga sekolah bahawa ponteng adalah pelanggaran disiplin sekolah yang serius.
3.5 Tindakan secara bersepadu pelbagai pihak secara langsung akan dapat mengurangkan masalah ponteng secara berkesan dan hasilnya akan membantu kecemerlangan akademik dan sahsiah murid.

4.0 OBJEKTIF
4.1 Meningkatkan peratus kehadiran murid ke sekolah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
4.2 Memberi maklumat dan peringatan yang konsisten berkaitan masalah ponteng kepada murid ibu bapa dan guru.
4.3 Mengawal kualiti pencapaian dalam peperiksaan awam.
4.4 Menggerakkan budaya penglibatan aktif guru dalam menangani isu penting di sekolah.

5.0 PELAKSANAAN

(Diceritakan prosesnya. Jika ada jadual, rajah dll lebih baik untuk menjelaskannya)




https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiLvx5WZKzAC74acPEzFuuOKEMsuz0oYycIza_dIiv7zDlpVMaQ0PrfH4FQCvoZtvDUmNUkYiIim6kTxa8ulR-l8NcFx2vtyBAUnGH_t15MnbPI4giITIoGYnPYIeE9q-2xP-Lw1sRXM8w6/s320/Picture2.jpg


(Contoh rajah sokongan.Sumber: Pn Hjh Rosidah & 
 Abdul Rahim Mohd Yunus)


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgVsZIyLUBOEvRHxDrhbLf8DSbWBG8R_QtBML6-uZhQBp-j4TeFFb9cQsEu_RdKKuxkXu8NZsozV7bNeYnDAYtv6yOtPwTNKmsshX08HaIAHESM1igQPm_BD2SpLdqDHl5SACBtVY24YZQ0/s320/Picture1.jpg


Program.....

6.0 IMPAK
(Disertakan juga bahan sokongan (analisis) spt jadual, graf, senarai semak, dll)
PMR tahun 2010 terlihat kejayaan program ‘Hot Chair’ ini setelah tiga tahun dilaksanakan apabila keputusan amat memberangsangkan. Gred purata sekolah meningkat sebanyak 0.31 , peratus lulus meningkat 18.92 % dan jumlah pelajar cemerlang meningkat kepada tiga orang. Pencapaian PMR 2010 hampir menepati sasaran sekolah .

Perbandingan antara Target sekolah dengan PMR 2010:
......
Ini adalah keputusan terbaik dalam tempoh 10 tahun pencapaian PMR sekolah ini ( 2002-2010). Keputusan PMR 2010 telah berjaya menarik perhatian masyarakat daerah Lipis kerana . SMK Orang Kaya Haji sebelum ini sentiasa berada di ranking terakhir pencapaian daerah .Tetapi mulai tahun 2009 naik satu anak tangga, 2010 naik dua anak tangga. Ranking peringkat negeri pula pada tahun 2010 naik 33 anak tangga(157 – 124 )

7.0 PENUTUP:
Hot Chair menjadi pembakar semangat kepada pelajar dan guru-guru untuk membaiki kelemahan untuk meningkatkan pencapai. Program ini dilaksanakan oleh pengetua sendiri mendorong budaya belajar yang bersaing kerana siapa yang maju akan sentiasa mendapat perhatian dan ganjaran pengetua.Pelajar yang lemah pula akan dibimbing melalui program pemulihan dan pihak kaunselor pula sentiasa membantu dari segi peningkatan semangat pelajar. Seterusnya P&P dan Program Kecemerlangan lebih berfokus mengikut kelemahan dan kekuatan pelajar. Budaya seronok bekerja di kalangan guru terhasil apabila pengetua terlibat sama secara langsung dengan mereka.

Moh menulis...

Tempat Jatuh Lagi Dikenang –Pemimpin Sekolah Belajar Dari Pengalaman

TEGAS
Kelmarin muridku menghantar mesej: “Janganlah tegas sangat”. Aku senyum membacanya. Memang sejak dulu apabila bertegas, akan ada muridku yang mengakui takut. 

Di SMART dulu, ada murid-murid (sampai kini) yang mengingat aku sebagai ‘strict’ dan garang. Aku memang diberi kuasa merotan oleh semua pengetuaku. Anak-anak kenalanku juga ada yang “takut” dan “segan” nak mengadu atau melapor tentang masalah di sekolah. Selalunya sampai melalui ibu bapa.

Ada muridku di Seri Bentong bertanya melalui anak-anakku sama ada aku “tegas macam tu ke di rumah?”. Anak-anakku menganggap soalan sedemikian “kelakar” kerana mereka lebih mengetahui.

Tapi aku juga dikenali oleh sebahagian besar murid dan ibu bapa sebagai cikgu yang “selalu senyum” dan mudah dibawa berbincang. Sentiasa menyambut salam dan menegur murid di mana-mana. Selalu menggosok belakang dan meletak tangan di bahu murid di koridor atau kantin. Rakan-rakan setugas juga ada yang menganggap demikian. ‘Cool’. Murid yang menghantar mesej itu tadi juga pernah menulis komentar selepas aku mengendalikan sesi pertemuan bersama semua murid Tingkatan 5:"Macam bapa dengan anak la pulak.."

Bahkan di Seri Bentong dan Bukit Rangin kini ada ibu bapa yang menganggap aku sebagai pengetua yang “baik sangat” dengan konotasi condong ke arah “terlalu lembut” dengan murid . Maksudnya mudah kesian, mudah percaya, mudah beri muka. Aku senyum lagi.
Kaunselor Badaludin dari SMART dulu ketika merumus aktiviti Kembara di Bukit Pelindung pernah berkata, “Saya ingat Haji ni personaliti biru tapi rupanya ada juga emas” (sistem personaliti 1970-an dimodelkan Don Lowry).

Kem Kepimpinan Pengawas SMART yang kami (Team Gurkha/Flying Squad) kendalikan memang menjadi legasi tahun-tahun 1990-an. Muridku yang seorang ini bercerita (setelah tamat persekolahan) bahawa pengalaman paling teruk yang diingati dalam kem ialah dia terlalu takut (“I was so scared. I was trembling.”) Manakan tidak, aku bertempik sakan apabila ada “kesilapan” dalam kumpulan. Mereka tak sempat berfikir panjang kerana semua aktiviti yang dirancang penuh dengan “hambatan masa”. Watakku sering menukar ‘mood’ peserta menjadi serius.

Aku berpendapat bahawa:
1.Pandangan orang tentang diri kita boleh berbeza. Bergantung kepada sisi yang mereka nampak. Bergantung kepada pengalaman bersama kita. 
2.Suasana berbeza menuntut watak yang berbeza. 
3.Ada kerugian juga apabila hanya satu watak kita selaku pemimpin dilihat orang lain.Halangan atau ‘barrier’ komunikasi boleh berlaku
4.Jujurlah melahirkan emosi mengikut suasana. Kawal jugalah supaya tidak keterlaluan dan tidak padan bagi seorang pemimpin.

Aku menjawab mesej di awal catatan: “Tegas adalah salah satu pakaian cikgu”.                               Dia bertanya pula: “Mahal tak pakaian tu?” 
Aku jawab dengan satu perkataan: ‘Priceless’

Memang tegas itu tak ternilai harganya jika kena pada tempatnya bagi seorang pemimpin