Thursday, March 1, 2012

Pendakian Cemerlang Bukit Rangin


Melangkah ke SMK Bukit Rangin (SMKBR) setelah meninggalkan Seri Bentong memang menjanjikan pendakian tersendiri. Sekolah Kawalan 2, PPD Kuantan ini memang cantik; di kaki bukit, di tepi sungai. Tanggal 24 April 2009, saya mendaki bukit bersebelahan sekolah bertemankan sebuah kamera digital. Pendakian yang mudah kerana bukit ini sudah ditarah cerunnya. Sekolah indah ini rupanya kian memikat dari atas bukit. Saya merakam panorama sekolah. Renungan saya pada petang itu membayangkan bahawa cabaran “pendakian sebenar” tidak semudah pendakian fizikal.

Lebih  seminggu sebelumnya, saya kemukakan 2 soalan kepada semua guru. Kertas putih A4 diedar bagi merakam coretan. Apa yang dijangka/diharap daripada saya sebagai pengetua baru di SMKBR? Apa lagi yang boleh dilakukan untuk meningkatkan sekolah? Apabila dikutip, ada 72 harapan dan 49 kekuatan yang berbeza; maka saya rumuskan sebagai 121 peluang dan sebab untuk SMKBR melakar kecemerlangan . Saya bentangkan kepada semua guru selepas lebih 100 hari di SMKBR.

Pendakian menangani cabaran disiplin murid menjadi sebahagian harapan dan cadangan guru. Pendakian meningkatkan pencapaian akademik juga ditulis jelas. Kedua-dua aspek itu ialah isu strategik SMKBR. Disiplin murid memang berkait rapat dengan kecemerlangan akademik. Urusan utama (‘core business’) akademik mesti diasaskan atas disiplin yang terkawal. Persekitaran atau iklim sekolah tentu sekali akan berubah.

 Selain itu, catatan guru-guru menyedarkan saya bahawa ada suara hati, kebimbangan, kedukaan, kegembiraan dan pelbagai rencah yang akan turut memerlukan perhatian dan kepekaan seorang yang bernama pengetua.
Pendirian saya menghadapi isu disiplin:
  1. Mesti ditangani segera, walaupun tidak diselesaikan segera. Tindakan pengukuhan (‘reinforcement’)   mendisiplin amat perlu sebaik sahaja tingkah laku negatif dikesan. 
  2. Mesti kelihatan ditangani (seen to be done’). Ini amat perlu kerana “semua mata ingin melihat” pengetua bertindak, membantu dan menyokong usaha.
  3. Cuba berada di pihak murid, ibu bapa, penjaga, guru dan pentadbir untuk memahami semua masalah agar tiada tindakan keterlaluan diambil. Tegas memang prinsip, tetapi tidak perlu berkasar.
  4. Jika murid  ibarat sudah “makan ditangan” kita bagai anak ayam didik kerana sudah mesra dan percaya, maka membetulkan tingkah laku mereka sudah selesai 50%. Jika kemudiannya kita melahirkan emosi marah atau terpaksa menghukum, mereka akan mengerti bahawa kita melakukannya kerana sayang. Memang untuk menjelaskan aspek ini saya hanya gunakan 2 ayat, tetapi usahanya “makan tahun” kata orang kita.
  5. Pesanan sentiasa disebut dan diulang dalam perhimpunan, perjumpaan atau sesi-sesi pertemuan dengan murid. Mereka masih budak! Kita tidak dapat menerima perlakuan mereka, tetapi kita sayangkan mereka. Pendirian ini tidaklah sangat sukar. Tidak sesukar penyelesaian masalah Matematik Tambahan. Jika sudah terbiasa,  tidak akan ‘bias’. Gunakan pendekatan, sudut atau nada yang pelbagai untuk mengingatkan mereka:serius, sedih, gembira , kagum, terperanjat, gurauan, jenaka dan sisi-sisi emosi kemanusiaan/keibubapaan.

Tentang akademik, SMKBR masih ada “menyimpan kuku”. Potensi sebenar belum digunakan sepenuhnya. Jawatankuasa Pengurusan yang bagaikan Jawatankuasa Kabinet mesti digerakkan agar kesan limpahannya meresap kepada tindakan guru yang menjadi pemimpin hadapan atau pemimpin baru. Pendekatan/pandangan standard saya ialah:
  1. Gunakan data dan bukan andaian apabila membuktikan hujah, melihat potensi serta analisis persekitaran. Teliti data sekolah ‘benchmark’ kita serta kekuatan sekolah yang “sama liga” dengan kita. Guru dan murid akan mengubah pandangan jika kenyataan yang tidak menipu dibentang dan diterjemah secara bermakna kepada tugas atau usaha mereka.
  2. Rancanglah program atau aktiviti, tetapi kelaslah yang paling kelas! Aktiviti pembelajaran dan pengajaran mesti berjalan dan dipantau selia. Ajak dan cabar guru mengendali kelas dan prosesnya secara profesional.  Profesional yang sukar dipersoalkan murid, ibu bapa dan pelanggan lainnya.
  3. Pendekatan secara sentuhan peribadi keibubapaan Pengetua, Penolong Kanan serta Pengurus Tingkatan (dilantik dalam kalangan JK Pengurusan selaku ‘team managers’). Ajar murid dengan kasih sayang sebelum mengenalkan mereka dengan “ancaman kesakitan” jika mereka gagal.
  4. Dapatkan cadangan meningkatkan pencapaian daripada murid. Mereka bangga dan rasa dihargai jika kita hanya menimbangkan, apatah lagi jika menerima pandangan mereka. Hebahkan dan puji idea mereka; biar semua orang tahu. Apalah sangat beratnya permintaan mendapat bilik belajar lebih selesa, kipas lebih laju, papan putih, papan kenyataan serta keperluan fizikal seumpamanya, kurma, kismis, air mineral, guru pembimbing dalam dan luar; asal saja kita mampu. Kita usahakan dan mereka akan menghargainya. Bahkan tidak mengapa jika ada kalanya kita mengambil masa.  Itu mengangkat hubungan positif ke peringkat lebih tinggi; menjadi ‘the next level’ bagi mereka.
  5. Apabila berjanji, tunaikan! Kita membentang program, aktiviti, langkah, tindakan, ganjaran, keistimewaan dan sebagainya dalam usaha akademik namun semuanya tiada makna tanpa pelaksanaan. Sikap dan sifat  benar (“siddiq”)dan amanah dalam berjanji membawa keberkatan yang banyak. Kita dihormati dan dipercayai murid secara tidak  disedari. Membekas dan mendalam.
  6. Bahagikan kumpulan murid mengikut keupayaan jika melaksanakan program pemulihan atau peningkatan akademik. Pastikan kita bertemu mereka sekerap yang wajar untuk “bertanya khabar” selain meneliti setiap pencapaian. Nyatakan keyakinan, kebimbangan serta harapan kita sebagai ketua dan pertanggungjawabkan mereka dengan peningkatan atau kemerosotan. Saya tidak maksudkan yang kita menyalahkan mereka, tetapi sebaliknya meyakinkan bahawa “perubahan boleh dilakukan”, “masa belum terlambat”, “kami (guru) belum berputus asa”, “merekalah harapan kita” (sekolah, keluarga, negara, bangsa dan agama).
  7. Kita merancang dan berusaha dalam pelbagai cara. Itu hak kita sebagai manusia. Sedang kejayaan serta keberhasilan itu milik Tuhan Yang Maha Bijaksana. Jangan patah semangat, patah hati serta keluh kesah. Salah silap, berjaya atau gagal memang lumrah. Cuma jangan jadikan tabiat! Bangkit dan teruskan. Juga jangan terkeliru dan salah anggap bahawa sekolah-sekolah yang berjaya serta hebat itu mudah mengendali murid. Allah sahaja yang tahu susah senang, jerih perit serta usaha yang dilakukan. Macam tengok itik atau angsa berenang begitu mudah dan tenang; hingga melahirkan idea puisi dan lagu yang indah-indah . Bagai meluncur, menggelongsor di permukaan air. Hakikatnya, kalau ada lensa kamera di bawah air, tahulah kita bahawa kaki haiwan cantik itu berkayuh bagai nak rak! Macam tak ada esok. Macam nyawa mereka menjadi taruhan (selamat berkayuh sahabat-sahabat yang berkenaan).

Luahan rasa guru serta harapan guru tentang sekolah serta pandangan mereka saya cuba fahami dan bantu sebagai ketua jabatan, rakan setugas, sahabat, adik beradik dan ahli keluarga. Ada yang mudah dibantu dan diselesaikan. Ada yang boleh dibuat, ditangguh, dibincang dan dibiarkan “masak sendiri”. Ada yang sama sekali tidak! Mereka mengadu dan mengharap. Saya pula mestilah juga mengadu. “Ya Allah, Kau Maha Mendengar, aku sendiripun tak tahu apa nak buat, aku sendiri pun ‘jam’ memikir jalan bantuan dan penyelesaian. Tolonglah aku di atas segala kelemahan dan kekurangan ini tapi janganlah aku minta apa yang Engkau mahu hindarkan dari kami.”

Saya membelek keputusan PMR 2011. Bertukar buat kesekian kalinya ke medan baru menuntut semangat dan tumpuan baru. 2 tahun 4 bulan bagaikan seketika. SMKBR kekasih lama yang akan tetap dikenang walau kini di SMK Sultanah Hajjah Kalsom. Kasih dah tumpah, sebahagian hati juga tertinggal.

Saya gembira dan bangga bekerja dengan warga SMKBR yang komited dan cakna. Graf sentiasa menaik (2009 - 2.41, 2010 - 2.25). PMR 2010 dulu, kami Sekolah Luar Bandar Terbaik di Pahang, hadiah Menteri Besar. GPS  PMR 2011 ini 2.17, adalah yang terbaik dalam sejarah SMKBR. Rasa seronok dengan usaha Cikgu Maznah Ariffin yang menyahut cabaran saya supaya dapatkan 50% A bagi mata pelajaran Matematik. Memang lebih 50%! Saya terkenang Pn. Azhariah, pengetua pertama SMKBR yang sering meninggalkan pesan setiap kali bertemu agar “cemerlangkan” cinta pertamanya ini. SMKBR cintaku yang kedua selepas SMK Seri Bentong. Tetap bahagia. Kami dah cuba dan berharap agar usaha dan cubaan cemerlang dengan GPS 1 ‘pointer’ akan berhasil di bawah Tn. Hj. Zaimi. Semangat pendakian di SMKBR akan terus bersemarak.


No comments:

Post a Comment