Monday, November 16, 2009

Pro-log (1/3)

Catatan 1:April 2008
“Profesional Yang Reflektif”

Menulis tetap mengasyikkan aku, sama ada puisi atau prosa; aku cuba merakam perasaan dan melihat kejadian dari kaca mata pencerita dan mengambil pendekatan menyuarakan ‘critical voice’.

Buku-buku bacaanku banyak juga pengaruhnya. Melihat kepada cara penulisan buku pengurusan dan pendidikan Barat, aku sering memikirkan bahawa kita patut ada karyawan dan profesional yang menulis dengan cara kreatif dan inovatif. Dalam profesion pendidikan, penulisan guru kita kian bertambah Meskipun demikian, jumlahnya masih belum boleh dikatakan memenuhi selera besar agenda pendidikan.

Di Barat, guru disebut juga sebagai ‘reflective practitioner’ atau pengamal reflektif kerana sifat guru yang mesti sentiasa berfikir menilai tindakan. Bahkan amalan sedemikian memberi faedah yang luas terutamanya apabila mereka bersedia berkongsi amalan dan pengalaman melalui laman web, blog, serta pelbagai seminar, simposium dan persidangan.

Mereka bersemangat dan bangga berkongsi inovasi atau dapatan menarik dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Perkongsian mereka termasuklah pendekatan teoritikal yang kompleks sehinggalah kepada cara membimbing pelajar menyelesaikan tugas serta menyediakan nota dan buku skrap; mereka mencatat dan sedia berkongsi. Kita juga mencatat, tetapi selalunya hanya di ruang “refleksi” dalam buku rekod mengajar; itupun jika kita digesa melakukannya oleh guru besar dan pengetua.

Di negara kita, walaupun telah melalui banyak perubahan melalui usaha pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) seperti usaha BPG, PPK, IAB, serta Majlis Pengetua Kanan, PKPSM, MGB dan seumpamanya; masih banyak ruang peningkatan yang boleh dilakukan. Perkembangan penyebaran kaedah dan pelaksanaan kajian tindakan (‘action research’) di sekolah-sekolah yang semakin meningkat menjanjikan perkembangan positif dalam agenda memartabatkan profesion perguruan. Perkongsian amalan-amalan terbaik (‘best practices’) yang mencakup semua aspek amalan perguruan memang sedang dikongsi dan disebarkan.
Aku pernah terfikir bahawa semua Pengetua dan Guru besar patut ada catatan dalam bentuk buku log sebagaimana seorang kapten kapal menulis dalam ‘captain’s log’. Hal, isu, kejadian, keputusan serta kesannya yang signifikan terhadap sekolah bukan sahaja mempunyai nilai reflektif profesional yang tinggi tetapi juga mempunyai nilai sejarah sekolah yang unik, dapat dikongsi dan dimanfaatkan oleh warga pendidikan.

Persoalannya adalah sejauh mana kita cukup sensitif atau cakna terhadap keperluan sikap reflektif? Berapa ramaikah dalam kalangan warga pendidik kita berminat membaca prosiding seminar, kolokium dan persidangan ataupun jurnal pendidikan tempatan atau luar negara? Berapa ramai pula yang tahu serta mempunyai akses bahan-bahan sedemikian?
Pendedahan melalui pelbagai program dan aktiviti menyeluruh di semua peringkat akan dapat merealisasikan sifat reflektif guru yang tidak dapat dinafikan kepentingnnya. Pada pandanganku jika tugas kita mengajar dan menyeru kepada kebaikan dan kebenaran, kita memang menjalankan tugas nabi dan rasul. Profesion yang amat mulia! Adakah kita menilai atau memuhasabah amalan keguruan kita secara jujur?

No comments:

Post a Comment