Ditugaskan ke SHAKS bukan pilihan tetapi ketentuan takdir.
Sebagai mana aku tidak meminta untuk jadi pengetua, demikianlah aku tidak
menjangka akan diletakkan Allah di sini pada 2011. Allah tidak akan membebankan
seseorang lebih dari kemampuannya. Ayat terakhir surah Al-Baqarah dengan jelas
mengungkapkan demikian. Aku mesti berusaha, berdoa dan bertawakal agar dapat
menunaikan amanah mengislahkan diri dan mereka yang aku pimpin.
Melihat SHAKS dari Ogos 2011, kalaulah aku boleh mengubah,
banyak yang aku inginkan. Keinginan itu menjadi doa, hajat dan harapan. Aku tak
tahu sampai bila akan tertunai tetapi aku inginkan:
1.
Kawasan sekolah bersih sepanjang masa 24 jam
sehari, 7 hari seminggu, kerana untuk semua warga SHAKS, itulah wajah dan
maruah,
2.
Semua murid dapat bangun awal, menunaikan solat
subuh berjemaah; tanda umat bertuah,
3.
Surau dihormati dan dimakmurkan; tenang untuk
munajat tanpa kebisingan seperti di padang atau pasar,
4.
Tiada makanan dibazir, dicampak merata-rata
kerana tamak atau lupa; sedangkan ramai manusia di luar sana hanya kais pagi
makan pagi. Kadang-kadang kais pagi sampai malam pun tak ada hasilnya,
5.
Bebas kecurian; terutama sekali di asrama kerana
aku telah melihat pelbagai kesusahan. Hiba dan panasnya perasaan ibu bapa
mangsa; kadang-kadang aku hanya mampu mendengar dan bersimpati,
6.
Biarlah semua pencuri dan pembuli ditunjukkan
agar dapat disingkirkan dari kalangan murid-muridku,
7.
Murid faham dan mengamalkan tabiat tidur yang
baik serta sesuai agar mereka memperolehi rehat dan tenaga yang cukup untuk
menghadapi pelajaran tanpa tersungkur di meja tulis dan dewan peperiksaan,
8.
Tiada contengan pada dinding kerana itu
melambangkan keburukan perangai dan asuhan yang tidak berkesan,
9.
Bersih atap daripada penyangkut baju serta selipar
yang sengaja dilempar; menjelaskan jiwa kasar, tiada rasa malu dan lepas laku,
10.
Tiada jeritan, makian dan carutan yang memecah
ketenangan fikiran di taman ilmu ini kerana pembawaan asuhan keluarga dan
pergaulan sosial terpancar dalam kalimat-kalimat keji demikian.
Seperti teori ekonomi yang mengungkapkan bahawa kehendak
manusia tidak terbatas tetapi sumber terbatas,banyak lagi yang aku inginkan
sebenarnya. Aku ingin rasa cinta kepada sekolah tersemai dan tersebar dalam
kalangan warga SHAKS agar terbit rasa ingin berkorban atas cinta itu.
Seperti bertugas di sekolah mana-mana pun, aku lemah
berhadapan dengan pelbagai ujian. Syukur, Allah memberikan aku guru-guru dan sebahagian
murid yang memahami. Itu cukup menjadi
ubat jiwa. Cuma kalau boleh biarlah semuanya memahami dan bertindak. Bab
bertindak tu yang agak sukar kerana hati kita yang tak sama merasa. Tanpa
pertolongan Allah, aku tak mungkin dapat menunaikan tanggungjawab. Jika doaku tidak
diperkenan sekarang , mungkin akan ditangguhkan ke masa yang lain atau diganti
dengan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang aku inginkan. Mungkin Allah
tukarkan dengan menghindarkan bala bencana yang hanya Dia yang Maha Mengetahu
dan Maha Bijaksana mengaturnya.Maka aku tak boleh mengeluh atas janji Allah dan
hikmahnya dalam soal doa dan harapan.
Pengetua
Khamis, 22 November 2012
No comments:
Post a Comment