Sunday, August 21, 2011

'Looking Back'

Hari ini (7 Ogos 2011) En. Mohamad Noor, pengusaha kantin SMKBR berkali-kali cuba menghubungi aku. Dia kucari di bazar Ramadan nombor 21 berhampiran Masjid Negeri. Renungannya agak berbeza  apabila kami berjabat tangan. Bekas komando polis ini sering kupanggil “Che Noor” atau “bos”. Selepas 2 tahun berjumpa hampir setiap hari persekolahan, aku mula berhubung dengannya dengan ‘body language’ sahaja. Persefahaman kami tinggi.

“Sampai hati tak beritahu tuan tukar. Saya dapat tahu dari orang lain”. Aku pernah larang dia memanggilku “tuan” tapi dia tak berganjak. Anak Raub keturunan Mat Kilau ini memangnya begitu. “Kenapa pulak tukar?” Soalan itu tak berjawab tetapi aku meminta maaf kerana sukar memberitahu orang yang rapat tentang pertukaranku ke SHAKS.

Tahun 2009 ialah tahun yang paling mencabar dalam kami menangani masalah disiplin. Murid lompat pagar pada Hari Guru dirakam aksinya oleh jurugambar (cari makan) Kosmo! (geram juga apabila tahun 2011 gambar yang sama  keluar dalam Utusan Malaysia dengan catatan “baru-baru ini di Kuantan”). Tahun 2009 jugalah beberapa insiden murid bertindak agresif melawan, mencabar dan mengutuk guru.

Mercun dibakar dalam kawasan sekolah oleh murid juga menjadi perkara yang boleh dijangkakan. Letusan mercun di tempat parkir motosikal,   di koridor dan belakang blok tak perlu tunggu Tahun Baru Cina atau Hari Raya. Melepak dan ponteng di Dewan Orang Ramai Bukit Rangin juga perkara biasa dan jadi dos harian kami guru disiplin. Baling tepung dan air dalam plastik atau belon? Sakit mata dan hati.

Diam-diam aku bertekad “memerangi” semua itu.Che Noor turut membantu kerana sesekali aku bawa “potensi-potensi samseng” untuk “dibasuh”. Aku menghargai bantuannya yang turut “mengajar”. Dia juga sedia membantu murid yatim dan miskin untuk menikmati hidangan waktu rehat dengan percuma atau dengan bayaran yang amat minimum.

Aku pernah mewar-warkan tawaran meminta bantuan ahli komuniti setempat yang “gedebe”, “samseng”  atau kaki pukul yang menghormati institusi sekolah serta guru agar “menangani” atau “mengajar” murid-murid yang “bermusuh” dengan guru. ‘Fighting fire with fire’ kadang-kadang berkesan. Sony Chiba, pelakon Jepun yang terkenal dengan watak ninja pernah berkata, “Only a ninja can kill a ninja!”

Aku juga bertekad mengajar murid-murid kelasku yang “malas tahap Gaban”, enggan memberi respon positif kepada nasihat dan suka tidur dalam kelas dengan membawa mereka berjumpa pekerja swasta (pembersihan) dan pengawal keselamatan (jaga). Aku dapati motivasi begini berkesan kerana biasanya dalam dua tiga ayat sahaja mereka mampu menyampaikan mesej yang impaknya jelas. “Kalau awak malas belajar, esok kerja macam mak ciklah; menyapu sampah” atau “Orang kerja 8 jam, aku kerja 12 jam. Engkau larat kerja macam aku? Gaji aku …” ialah antara mesej ‘brutal truth’ yang memeranjatkan murid yang terlibat. Tiada skrip. Tiada pertemuan yang dirancang atau diraptai. ‘Straight and raw!’

Perhimpunan mingguan Isnin juga menjadi medan bagiku melancarkan perang psikologi atau “menjual” idea dan mendapatkan sokongan terhadap guru dan perlakuan positif yang menandakan budaya tinggi. Aku juga mengendalikan sesi perjumpaan dengan kumpulan sasaran; khususnya Tingkatan 3 dan 5 yang perlu disalurkan fokus mereka kepada cabaran peperiksaan awam.

Selepas lebih setahun, ‘hardcore’ yang menimbulkan masalah disiplin tidak lagi mampu merekrut ahli baru. Kami rasa sedikit aman walaupun tak pernah berasa selesa. Aku biasanya menawarkan 2 pilihan: Hormati guru atau keluar dengan hormat. “Skrip” contoh aku yang standard serta ‘killer questions’ yang aku kemukakan dalam dengan nada rendah (memujuk) tetapi serius agar setiap satunya dijawab:
1.       “Cikgu kita macam ibu bapa yang hanya nakkan perkara yang baik untuk kita. Kalau kita tak dengar kata mereka di sekolah, tak ada siapa lagi yang nak tolong kita di sini.”
2.       “Awak tak suka cikgu tegur? Awak nak cikgu buat tak peduli? Ikut sukalah apa awak nak buat? Ini sekolah, kami cikgu. Awak rasa awak akan pandai kalau cikgu buat begitu?”
3.       “Cikgu bukan musuh kita. Sekolah bukan penjara. Kalau awak tak dapat nak hormati guru kita, awak tak boleh belajar dengan mereka. Tak apa.Saya sedia bincang dengan ibu bapa awak supaya awak boleh cari cikgu yang awak boleh hormat. Cari sekolah yang awak boleh belajar. Sekolah mana? Saya boleh ‘call’ mereka sekarang.”
4.       “Kalau awak nak bermusuh dengan cikgu saya, saya minta maaf. Kita jangan berkelahi. Saya tak boleh jadi pengetua awak. Mereka tak boleh jadi cikgu awak. Antara kita ada yang kena keluar dari sini. Saya atau awak?”
5.       “Mari kita cakap lelaki sama lelaki. Ada makwe? Nanti nak kawin tak? Nak dapat anak kan? Macam mana nak jaga anak dara orang dan didik anak jika diri sendiri pun awak tak boleh jaga?”

Semua itu dan beberapa eleman dramatik lain sentiasa aku gunakan bersama usaha  ahli pasukan penyelesai masalah (‘trouble shooters’) iaitu En. Nasri (GPK HEM), Penyelaras Disiplin dan Guru-Guru Bimbingan dan Kaunseling.

Resipiku yang nyata ialah: Jika mereka memahami siapa mereka dan memahami kita, sebahagian masalah disiplin telah selesai. Bukan semua, sebab elemen persekitaran luar mereka seperti pengaruh sosial serta kekeluargaan turut mempengaruhi. Aku pernah mencatat pendekatan mendisiplinkan murid SMKBR berdasarkan karya Sun Tzu, “The Art of War” menggunakan “strategi menyerang” dalam ‘blog post’ bertajuk “War On The Undisciplined”.

Resipiku lagi: Urusan utama kami ialah P&P dalam kelas dan asasnya ialah disiplin dan akhlak terpuji.

Aku masih belum menyelesaikan tugas di Bukit Rangin walaupun masanya dah tiba untuk beralih medan. Aku berdoa agar dapat berjumpa dengan watak pejuang seperti Che Noor dan pembantu yang lain di sana. Aku berdoa agar Allah menguatkan aliran darah pejuang keturunan sepupu Tok Gajah ini  untuk menunaikan amanah menghadapi hari esok dan seterusnya hingga tiba ketentuanNya.   

'The Final Curtain... Almost...'

Kata Cikgu Zarina, “… kena tulis dalam blog.” Sedang aku bagaikan separuh percaya dengan surat yang ditunjukkan Hajjah Haniliza sehari sebelumnya. Masanya  sampai juga walau hati meminta ditangguh. Nampaknya jodohku bersama SMKBR akan berakhir.

Bukan aku tak pernah bertukar sekolah. Namun setiap kali menghadapi kenyataan takdir sebegini, perasaan tetap berkocak. Aku sering menyebut bahawa jika kita berkorban, rasa sayang akan timbul di mana saja kita berada. Guru yang tak sanggup memberi sepenuh hati takkan ada hati di tempat bertugas.

Seorang murid SMKBR pernah bertanya melalui sms tentang “smksb” (SMK Seri Bentong) yang masih aku gunakan dalam alamat e-mel. Aku membalas, “Kekasih lama mesti kenang”. SMKBR kekasih baru yang mesti diberi perhatian sepenuh hati. Allahyarhamah Saloma, Biduan Negara kita pernah menyanyikan bait-bait  penuh syahdu:“Kalau pinang masih muda, Rasanya kelat sudahlah pasti, Kalau hilang kekasih lama, Cari lain untuk ganti, mengapa dinanti.Kasih yang dulu simpan dalam mimpi, Kasih baru simpan di hati.”

Kekasih ini juga akan terpaksa ditinggalkan. Boleh jenguk. Boleh tengok dari jauh. Bukan milik lagi. Untuk kusimpan dalam mimpi. Sebahagian mimpi itu ada dalam visi baru yang kami sama-sama bina tahun ini. Gurunya bakal menghayati tanggungjawab besar dari segi agama dengan mendidik  mereka seperti anak-anak sendiri. Muridnya bakal menghayati nilai agama dan budaya tinggi. Aku juga mengharapkan satu hari nanti SMKBR akan menjadi Sekolah Rancangan Khas. GPS SPMnya bakal kurang daripada 4 pointer, PMRnya 1 pointer.

Masa 2 tahun 4 bulan amat singkat. Namun kami dah cuba yang terdaya untuk memberi fokus kepada murid dengan membaiki disiplin, mengurangkan ponteng serta menjaga kebajikan. Pada masa yang sama, strategi disusun untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti pencapaian akademik. Aku cuba membina pasukan pengurusan yang serius dari segi profesional dan merendah diri pada masa yang sama. Elemen PrOD yang aku bawa di SMKBR mula menampakkan hasil. 

Berbeza dengan SMK Seri Bentong, tiada label PrOD di sini. Aku  cuba membudayakan keputusan dan penyelesaian masalah yang berasaskan realiti dan data. Kami cuba stabilkan imej Sekolah Kawalan 2. Kami  mahu mencabar rekod sendiri dan membina imej yang bukan menjadi pesaing tetapi rakan yang membantu jika perlu. Kami masih banyak belajar dari sekolah yang cemerlang dan mencuba juga resipi sendiri. Program dan aktiviti untuk murid sehingga Jun sahaja 2011 sudah hampir menyamai semua yang diusahakan 2010.

Aku berasa keseronokan bertugas dalam giar 4 yang menghampiri 5. Ingin benar aku melihat hasil murid yang kami cuba menangi hati mereka dalam setahun dua yang lalu. Walaupu cabaran dan dugaan datang sesekali menggugat, kami cuba atasi dengan rasional dan berhemah. Ada kalanya stamina kami berkurang berbanding cabaran yang bertalu-talu, namun kami punyai personel yang dapat diharapkan.

Aku rasa bangga dan terharu apabila melihat individu tertentu mampu bekerja dan berkorban melebihi apa yang termaktub dalam tugas rasmi, mempamerkan sikap professional dan hemah tinggi sebagai kakitangan kerajaan yang berkhidmat dengan rendah hati sebagai penjawat awam yang bertugas untuk rakyat. Kami bukan wakil rakyat yang dilantik melalui pilihanraya, tetapi kami mahu menjadi pilihan di hati rakyat yang dikhidmati. Jika ada servis kami yang melebihi jangkaan pelanggan, kami rasa berpuas hati kerana berjaya membuktikan bahawa  tidak sia-sia kerajaan melantik kami dan memberi pelbagai kemudahan. Kami ingin dikenali sebagai pegawai yang profesional dan  bertanggungjawab.

Petang tadi aku merakam gambar pokok hiasan yang aku harapkan akan cantik sempurna pada hujung tahun ini. Pelik.Lazimnya di mana-mana sekolah yang akan aku tinggalkan, keadaan sekeliling akan kelihatan lebih indah. Cuma indahnya meruntun sayu. Jika dilayan renungan dan imbasan, rasa sedih akan bertamu. Aku fikir itu berpunca dari hasrat hati yang mahu melihat lebih daripada apa yang telah terdaya dilakukan. Rasa tak berdaya. Rasa banyak lagi yang boleh dan patut dilakukan. 

Aku masih memikirkan contengan baru di tandas dan blok KH yang kumaklumkan kepada En. Nasri, program bersama Kaunselor  Tn. Hj. Azhar dan Tn. Hj Aziz, Setiausaha Masjid Bukit Rangin. Pembentangan kurikulum tak dapat kuselesaikan seperti yang kami kehendaki serta pembentangan SKT Akademik SMKBR yang kujanjikan bersama Hajah Haniliza pada Isnin depan. Aku berkira-kira untuk berjumpa kumpulan murid lelaki, Tingkatan 3,5,2 dan 4. Aku masih fikirkan dapat memenangi hati lebih ramai murid untuk mendorong mereka ke sekolah; tanpa ponteng.

Kerja memang tak pernah habis kerana kita ada kerja. Kerja ini kita yang minta maka semestinya akan tetap ada. Mati nanti barulah kerja dunia ni tamat. The final curtain.

Antara 'Award' & 'Box-Office'


Menang 'award' dan pecah 'box-office' kata Cikgu Nasri. Saya tak berpeluang menghayati tayangan Movie Maker oleh Ustazah Nagyah dan krew JK Kebajikan bersama semua guru. Saya mengambil masa sendiri, seorang diri menontonnya selepas perjumpaan tamat.

Bohonglah jika saya tak rasa sedih. Juga bohong jika air mata tak mengalir. Paparan wajah anak-anak SMKBR yang memerlukan perhatian memang meruntun perasaan. Dalam 2 tahun lebih, saya tak pernah melihat keadaan yang lebih mendesak. Kisah kedaifan anak-anak kita serta keluarga mereka bukan drama rekaan.

Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Lagi kuat kita berusaha membantu, lebih banyak yang Allah "bukakan" untuk kita. Kisah mereka takkan terbuka jika kita hanya bertekad mengajar sebaik mungkin. Menjadi guru atau pengajar biasa bukannya sukar. Tak susah jika hanya berkejar ke sekolah untuk tiba jam 7.30 pagi dan bergegas balik jam 2.40 petang.

Kerap kita merungut murid tak bermotivasi, malas, lesu, tidur dan tak berminat. Motivasi apanya, minat apanya, jika mereka mengheret kaki yang berat ke pintu pagar sekolah saban hari. Mereka tak bersarapan setiap pagi dan tidak mampu berbelanja ketika anak-anak lain berselera makan tak mengangkat muka di meja kantin. Muka mereka pucat menahan lapar yang menggigit, mata tak berseri keletihan menghadapi hidup.

Mereka jarang menyarung baju baru, sedangkan anak-anak kita di rumah mengambil masa yang lama memilih baju mana yang nak dipakai sepenuh almari. Menjadi guru prihatin yang mengambil tahu dan mengambil tindakan memang sukar.

Saya pernah mengulang-ulang kata bahawa jika kita cuba membantu, Allah akan buka jalan. Allah Maha Kaya. Jika kita tak mampu,Allah kirim orang lain untuk bantu. Kita jangan berkira memberi kerana jika Allah mula berkira memberi kepada kita, hidup kita bakal sempit. Allah telah,sedang dan akan menguji kita.

Maka, bangga rasanya apabila melihat JK Kebajikan mengumpul data, menemu bual,mengambil gambar,dan menyusun persembahan. Saya tak sempat dan tak mampu melakukannya. Saya tak boleh bekerja tanpa 'team' yang begini. Kalaulah kita semua nampak kelebihan usaha begini dalam tugas-tugas di sekolah, SMKBR akan mencipta kenangan terindah buat anak-anak didiknya.

Tak 'glamour' keputusan akademik yang meningkat jika kita mengelak daripada menyelami rasa hati murid kita. Pengalaman telah mengajar saya bahawa pada saat kita mula mengambil berat, meraka akan menunjukkan perubahan tingkah laku.

Kenapa murid SMKBR menganggap sekolah kita ialah sekolah terbaik apabila mereka bertukar sekolah? Sindrom "gila talak"? Kerana bangunan cantik? Bersih? Aman? Cikgu lebih 'handsome', cantik,bergaya dan lawa? Atau sebenarnya kerana kita ambil berat, peduli, cakna dan mendengar luahan atau sedia menerima mereka tanpa syarat, menghormati serta menyayangi? Kita dah berbuat sesuatu yang menyentuh hati dan mengubah pandangan hidup mereka bahawa harapan masih ada.
Senarai murid kita yang perlukan bantuan sudah membuka mata banyak pihak. Terima kasih semua yang terasa dan berkongsi keprihatinan. Terima kasih kepada semua yang menyumbang. Moga kita terus berikhtiar membawa perubahan yang berwarna-warni ceria sebagaimana yang dicatat oleh Cikgu Puteri dalam ‘promo’ majalah sekolah.
Kalau ada award untuk promosi program sekolah, pemenangnya sudah tentu Ustazah Nagyah dan krewnya! Dalam ketidakmampuan kita, saya serahkan kepada Allah untuk menilai dan membalasnya. Yang pastinya hati saya makin berat meninggalkan anak-anak SMKBR. Atau berat kerana sebenarnya hati saya akan tertinggal di sini… 

Bagaikan Tragedi - Blog Has Been Removed















Cikgu Zarina terkedu. Aku kaget apabila tengah hari Sabtu 20 Ogos 2011, Blog SMK Bukit Rangin telah "dihilangkan". Jangkaanku bahawa Cikgu Zarina atau krew blog kami yang lain sedang membina blog baharu apabila aku mula nak bertukar.

Meleset, apabila pagi 22 Ogos Cikgu Zarina menelefon dan menyatakan dia tersilap menjawab satu soalan yang berkaitan "tarikh lahir" (1 Jan 2001) yang menyebabkan blog kami hilang! Apakah sebab tak cukup umur 18 tahun? Atau angkara virus? Atau... entah, aku pun tak dapat nak pastikan.

8 Ogos lalu, aku sempat merakam 'print screen' sebagai kenang-kenangan terakhir menulis di blog kesayangan kami. Kami dah usahakan sejak selepas PMR 2009 bersama murid Tingkatan 3 sebagai aktiviti pasca PMR. Tidak disangka-sangka akhirnya blog tersebut pada kali akhir kami lihat sudah mencecah 27,000 lawatan! Dengan (kalau tak silap) 118 followers. 42 'posts' pada tahun 2009, lebih 80 'posts' 2010 dan sudah melebihi 70 'posts' sehingga Ogos 2011. Aku jangka pada akhir tahun ini, jumlah 'posts' akan mencecah lebih 100.

Kepada semua warga SMKBR yang menyayangi blog kita, inilah yang dapat dipaparkan. Jika dah tiada jalan "menghidupkan" blog kita, nisannya ada di sini. Kuburnya tak diketahui. Dugaan Allah buat kita semua. Bagaikan tragedi bagiku kerana ini berlaku ketika aku cuma tinggal 2 hari nak melapor di sekolah baru.