Thursday, February 14, 2013

Sajak:Khas Untuk Anak-anak Di Asrama Putera



Anak-anakku, jikalah aku punya kuasa dan kekuatan, ingin kujadikan kenyataan:

Kau kenal Allah dan Rasul,
 agar kata dan perbuatan berhikmah dan tidak tersasul.
Dampingi Al-Quran agar terang jalan,
agar segala ceritaan, teguran dan panduan jadi bekalan.
Cintai  Sunnah,
 agar hidup Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fatanah.

Bebas dan bersih atap dari sekalian penyangkut baju dan selipar yang sengaja dilempar,
barangkali mencabar guru untuk hilang sabar.
Bersih segala ruang dari sampah,
kerana sering kudengar pekerja menyumpah, bimbang juga warden  kian menyampah.
Bermain pada masa dan tahu ketika;
agar kerja sempurna dan guru tidak masam mencuka,

Tiadalah yang merokok; 
agar tidak sia-sia, lantaran membakar wang ibu bapa yang lelah bekerja setengah bongkok.
Tidak terbiar pakaianmu berselerak di ampaian, yatim piatu ditinggal tanpa nama dan tuan;
sedangkan ibu bapamu sering mengira dan mencongak biaya anak-anak dihujung-hujung bulan.
Elak mencuri, mengkhianat dan membuli,
                haram halal tak peduli, makhluk sekalian mengutuk, agama melarang dan mengeji,

Kau lena tidur; tanpa awal-awal pagi tersungkur, ingatan jelas tanpa kabur,
agar kesan ilmu dan amalmu bakal tersohor.
Andainya dapat kau tidur bertempat, bukan di merata-rata bilik dan katil merempat,
agar bukan dalam mimpi sahaja kau hebat.
Kuat keinginanmu membaiki diri,
bukan memanja dan melayan apa saja yang terlintas di hati;

Mendoakan kami dalam munajat,
            moga kuat, sabar, waras dan terus sihat,
kerana kami ingin mengangkat martabat,
tugas kami kian memberat,
di akhir hari dan musim membilang penat,
dalam keadaan masyarakat kian gawat,
bahkan bakal dipersoal di akhirat.

Pengetua
22 November 2012

SHAKS:Doa dan Hajat di Hati…


Ditugaskan ke SHAKS bukan pilihan tetapi ketentuan takdir. Sebagai mana aku tidak meminta untuk jadi pengetua, demikianlah aku tidak menjangka akan diletakkan Allah di sini pada 2011. Allah tidak akan membebankan seseorang lebih dari kemampuannya. Ayat terakhir surah Al-Baqarah dengan jelas mengungkapkan demikian. Aku mesti berusaha, berdoa dan bertawakal agar dapat menunaikan amanah mengislahkan diri dan mereka yang aku pimpin.


   Melihat SHAKS dari Ogos 2011, kalaulah aku boleh mengubah, banyak yang aku inginkan. Keinginan itu menjadi doa, hajat dan harapan. Aku tak tahu sampai bila akan tertunai tetapi aku inginkan:
1.       Kawasan sekolah bersih sepanjang masa 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kerana untuk semua warga SHAKS, itulah wajah dan maruah,
2.       Semua murid dapat bangun awal, menunaikan solat subuh berjemaah; tanda umat bertuah,
3.       Surau dihormati dan dimakmurkan; tenang untuk munajat tanpa kebisingan seperti di padang atau pasar,
4.       Tiada makanan dibazir, dicampak merata-rata kerana tamak atau lupa; sedangkan ramai manusia di luar sana hanya kais pagi makan pagi. Kadang-kadang kais pagi sampai malam pun tak ada hasilnya,
5.       Bebas kecurian; terutama sekali di asrama kerana aku telah melihat pelbagai kesusahan. Hiba dan panasnya perasaan ibu bapa mangsa; kadang-kadang aku hanya mampu mendengar dan bersimpati,
6.       Biarlah semua pencuri dan pembuli ditunjukkan agar dapat disingkirkan dari kalangan murid-muridku,
7.       Murid faham dan mengamalkan tabiat tidur yang baik serta sesuai agar mereka memperolehi rehat dan tenaga yang cukup untuk menghadapi pelajaran tanpa tersungkur di meja tulis dan dewan peperiksaan,
8.       Tiada contengan pada dinding kerana itu melambangkan keburukan perangai dan asuhan yang tidak berkesan,
9.       Bersih atap daripada penyangkut baju serta selipar yang sengaja dilempar; menjelaskan jiwa kasar, tiada rasa malu dan lepas laku,
10.   Tiada jeritan, makian dan carutan yang memecah ketenangan fikiran di taman ilmu ini kerana pembawaan asuhan keluarga dan pergaulan sosial terpancar dalam kalimat-kalimat keji demikian.

   Seperti teori ekonomi yang mengungkapkan bahawa kehendak manusia tidak terbatas tetapi sumber terbatas,banyak lagi yang aku inginkan sebenarnya. Aku ingin rasa cinta kepada sekolah tersemai dan tersebar dalam kalangan warga SHAKS agar terbit rasa ingin berkorban atas cinta itu.

   Seperti bertugas di sekolah mana-mana pun, aku lemah berhadapan dengan pelbagai ujian. Syukur, Allah memberikan aku guru-guru dan sebahagian murid yang memahami.  Itu cukup menjadi ubat jiwa. Cuma kalau boleh biarlah semuanya memahami dan bertindak. Bab bertindak tu yang agak sukar kerana hati kita yang tak sama merasa. Tanpa pertolongan Allah, aku tak mungkin dapat menunaikan tanggungjawab. Jika doaku tidak diperkenan sekarang , mungkin akan ditangguhkan ke masa yang lain atau diganti dengan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang aku inginkan. Mungkin Allah tukarkan dengan menghindarkan bala bencana yang hanya Dia yang Maha Mengetahu dan Maha Bijaksana mengaturnya.Maka aku tak boleh mengeluh atas janji Allah dan hikmahnya dalam soal doa dan harapan.



Pengetua
Khamis, 22 November 2012

Tentang Pendorong dan Kenapa Aku Tak Jadi Lain Daripada Cikgu.


Pendorong? Setiap murid ada pendorong masing-masing. Zaman sekolah rendah dulu,Cikgu Siti Fatimah sering memuji dan murah hati memberi markah. Dia pernah tertawa geli hati (agaknya) ketika membaca karanganku dalam kelas. Tajuk “Kalau Saya Jadi Seorang Guru” yang diberikan kepada kelas kami, benar-benar menjadikan aku serius untuk cuba menghayatinya.

Apa yang aku paling ingat dalam karangan itu ialah “aku” akan “mengajar bersunggguh-sungguh” dan jika “murid bising atau tidak buat kerja rumah, aku akan denda mereka dengan berdiri di atas kerusi” (denda popular Sekolah Kebangsaan Balok zaman itu; selain pulas perut atau rotan tapak tangan). Ada elemen pelaksanaan (‘execute’) dan kawalan (‘control’) guru dari sudut pandangan pengurusan hari ini. Aku  tak menyangka sama sekali yang 15 tahun kemudian aku perlu memainkan peranan sebenar “cikgu kalau” itu.

Ayahku cikgu yang mengajar di SK Balok. “Ustaz Yunus” (ada orang Sungai Karang yang memanggilnya “Maalim Yunus” – mu`allim atau cikgu) terkenal garang. Kami tinggal di Sungai Karang Pantai sebelum berpindah menetap di Balok. Waktu malam, dia juga mengajar Kelas Dewasa di Balok Pantai. Kelas yang macam kita lihat dalam cerita Pendekar Bujang Lapok tu.  Arwah tak banyak bercakap; bahkan amat pendiam dan sentiasa memerhati. Sering aku melihat Ayah lama di tingkap. Kalau di Barat, mereka ada ‘favourite couch’, Ayah ada tingkap kegemarannya. Jiran-jiran kami akan sentiasa mengingat posisi biasa Ayah yang meletakkan kedua-dua lengan di tingkap.

Setelah beberapa kali Ayah mendapati aku mengintainya mengajar di bilik darjah, satu hari  aku terdengar Mak dan Ayah berbincang untuk menghantar aku masuk sekolah. Ketika umur aku 6 tahun, aku bergelar murid sekolah. Ayah jadi pendorong selain Mok Cik Imun (nama timangannya Maimun kerana membezakan dia daripada seorang lagi adik Mak yang juga bernama Limah dalam surat beranak) yang sering membacakan cerita untukku. Dia amat suka membaca buku.

Sebelum bersekolah, aku yang kadang-kadang mengikut Ayah ke sekolah akan masuk ke bilik guru dan sudut tumpuanku ialah rak-rak buku. Bukunya tidaklah sebanyak yang ada dalam mana-mana perpustakaan sekolah sekarang. Aku amat suka, bahkan gilakan buku yang kulitnya dihiasi lukisan cantik. Buku zaman dulu jarang ada foto yang menghiasi kulitnya. Maka, sebelum aku mengenal huruf, aku sudah mendengar cerita yang dibacakan dari karya-karya seperti Laksamana Tun Tuah, Batu Belah Batu Bertangkup, Hikayat Raja Gagak, Hikayat Seribu Satu Malam (banyak jilid; yang kalau tak silap, diselenggarakan/disusun oleh Dato’ Onn Jaafar, tokoh nasionalis kita. Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1960-an). Setelah tahu membaca, aku kemudiannya tenggelam dalam keseronokan membaca sendiri buku yang sebelumnya hanya didengar.

Hiburan lain amat terhad; televisyen di Balok ketika itu hanya ada di beberapa rumah “orang-orang kaya” seperti Che Kadir (usahawan dari Kelantan), Syed Abdullah (dekat Sungai Balok), Syed Hamid (Chengal Lempong) dan kemudiannya beberapa rumah lagi. Itu juga terhad kepada beberapa jam waktu siang dan malam. Ayah tak suka aku leka dengan televisyen dan jika balik waktu malam, pintu rumah akan dikunci. Aku dan Abang akan terpaksa memanjat untuk masuk ke rumah melalui ruang antara jenang pintu dengan atap zink. Wayang percuma oleh Jabatan Penerangan (selalu cerita koboi) dan  wayang kelambu berbayar kadang-kadang beberapa bulan sekali muncul di kampung dengan cerita Hindustan atau cerita Melayu.
Walau tak banyak mulut, dia   memang  tegas dan garang ketika mengajar. Terkadang itu menyebabkan ada anak-anak dara tersinggung dan mengadu kepada    ‘boyfriend’. Cerita yang aku dengar, memang ada pemuda yang nak cuba menyekat dia yang berbadan kecil dan menaiki basikal di pertengahan jalan waktu malam. Cuma mereka tak berani kerana cikgu zaman dulu dihormati secara berbeza berbanding zaman ini.
Di rumah, beberapa kali aku melihat anak murid yang datang belajar mengaji al-Quran menangis. Ada kalanya menangis dan terus dan tak dapat membaca, tetapi lebih lucu (bagi kami budak-budak hingusan) ialah apabila ada yang terus membaca dalam tangisan. Menggelegak bunyinya.

Bila dah besar dan teringat riwayat hadis tentang Rasulullah s.a.w. membaca al-Quran dalam solat sambil menangis; yang juga bagai air menggelegak, aku dapat sedikit gambaran. Tak lucu dah. Rupanya memang ilmu yang kita pelajari akan mengubah pandangan kita. Kita akan melihat perkara yang sama daripada sudut yang berbeza.

Kerana garangnya Ayah, aku fikir Mak hantar aku mengaji al-Quran dengan Pok De Deraman (Haji Abdul Rahman bin Mat; meninggal selepas wukuf haji di Makkah) yang pendiam dan  lembut pertuturannya. Hampir tak kedengaran.  Amat disegani di Balok. Pernah jadi iman dan bilal masjid. Kehadirannya dalam sesi mengaji aku geruni walaupun dia tak meninggikan suara. Tiap kali menunggu giliran menghadap, aku berdoa agar tidak dipanggil.

Kemudiannya aku mengaji dan belajar fardu ain dengan Pak Ngah Haji Omar (nama sebenarnya Abu) yang aku selalu anggap ‘handsome’ macam hero siri tv kegilaan kami zaman kanak-kanak: ‘The Six Million Dollar Man’; Steve Austin (bukan ahli gusti tu), lakonan Lee Majors.

Dia terkenal sebagai bilal masjid yang mengalunkan azan yang panjang dan sedikit unik. Bila ada peluang azan zaman remaja di Masjid Balok dulu, memang aku cuba tiru gaya dia. Cuma yang paling bagus aku dapat tiru mungkin cara meletak jari di lubang telinga. Suara dan lagu;‘out’.
Pak Ngah suka berjenaka dan amat penyayang dengan anak-anaknya yang sering bermain di riba atau memanjat belakangnya ketika sedang mengajar. Yang aku lihat berbezanya guruku yang seorang ini, dia suka menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak dengan peluk dan cium. Memang aku suka melihat reaksinya apabila diganggu oleh anak-anaknya.

Kemesraan guru ini mengingatkan juga aku kepada Rasulullah s.a.w. yang dilihat melahirkan kasih sayang kepada kanak-kanak dengan ciuman. Sahabat baginda yang seorang ini hairan dengan cara tersebut kerana dia yang mempunyai ramai anak tidak pernah mencium mereka. Rasulullah seterusnya mengajar kita bahawa orang yang tidak menyayangi, tidak akan disayangi. Aku amat yakin bahawa cikgu mesti menyayangi murid. Prasyarat ini menyediakan guru agar menerima murid tanpa syarat. Senang disebut namun sukar dipraktikkan. Sukarnya hinggakan Kementerian Pelajaran Malaysia melancarkan kempen Guru Penyayang untuk mengingatkan kita semua akan kepentingannya.

Pok Long Rani dari Chengal Lempong, yang juga salah seorang imam di masjid dan guru mengaji al-Quran juga ada pengaruh dorongan yang lain. Suaranya aku kira yang paling enak didengar jika mengaji berlagu. Allah memberikan dia kelebihan itu dan dia juga amat teliti dengan sebutan huruf-huruf. Apabila kami duduk dalam bulatan di masjid  membetulkan bacaan dalam sembahyang dan mengaji al-Quran, memang aku terpukau dengan sebutan huruf dan bacaannya. Ilmu tajwidnya mantap. Bab itulah yang aku kurang kuasai. Dia selalu menggalakkan aku belajar dan menguasai tajwid. Dia puji sebutan aku, tetapi katanya jika tidak handal tajwid, aku akan hanya dapat membaca dengan betul tetapi tak dapat mengajar orang lain.

Zaman persekolahan menengah pula, Cikgu Yang Razali juga pendorong yang memuji dalam seriusnya. Dia memang serius. Aku tak pernah melihatnya ketawa dalam kelas. Kalau dia  senyum sahaja pun ; itu memang hari kami yang amat luar biasa. Garang? Tidak sama sekali! Kami tak rasa  takut, tetapi hormat. Ada cikgu yang memang kami takuti ketika mereka mengajar; tapi bukan Cikgu Yang Razali. Dia pandai tiup trumpet. Aku seronok  jika melihatnya membuat persembahan bersama kugiran sekolah pada Hari Guru. Tali leher halusnya sering berwarna hitam, baju kemeja putih lengan panjang dan berkasut kulit hitam yang runcing dihujung serta berkilat (gaya 60-an) menambah segak; anak Perak yang kehadirannya sentiasa mencuri perhatian dan meruntun rasa hormat.

Dia pernah membelek buku karanganku dan membuat komen bahawa kalau aku belajar dalam aliran sastera, akan ‘score’. STAR Ipoh tiada aliran sastera kecuali di Tingkatan 6. Aku lalui aliran Sains sehinggga SPM dengan keputusan mata pelajaran sains yang tidak cemerlang. Cukup makan sahaja. Aku dapat tawaran ke Tingkatan 6 Sastera di sekolah yang sama.  Telahannya terbukti benar 4 tahun kemudian. Aku pelajar terbaik STPM 1983. Apa yang aku kagumi ialah Cikgu Yang Razali kenal kekuatan muridnya.

Aku seorang sahaja dapat borang tawaran biasiswa MTC (Malayan Tobacco Company) untuk kursus undang-undang di luar negara. Aku dah terbayang akan “ambil law” di UK. Tak sanggup. Panjang ceritanya. Bapa saudara sepupu (sebelah Jerantut) yang menetap di Kuala Lumpur dengan serius menyebut ‘‘Rahim! You fill the form and make sure you send it”. Memang “power” ayat tu. Memang aku fikir dia nak aku jadi lawyer atau majistret atau hakim. Maafkan aku Pak Long Jalil. Takdirku kelihatannya akan beralih.

Aku minat apa yang popular disebut zaman itu sebagai “mass comm”(‘mass communication’). Mohon kursus itu, ditemuduga di ITM Dungun dan berjaya dan dapat tawaran pengajian dengan biasiswa MARA. Aku nyaris jadi wartawan akhbar, pengarang, pegawai perhubungan awam atau personaliti tv macam Ally Iskandar. Glamour! Tentu seronok agaknya!

Tapi takdirku berbeza. Selang beberapa hari kemudian, aku  dapat tawaran Pengajian Melayu di Universiti Malaya. Ringkasnya dan akhirnya,  aku jadi ahli alumni UM dengan dikurniai 2 ijazah dan 1 diploma. Terima kasih  kujunjung untuk kusampaikan kepada semua guruku yang menjadi pendorong. Mereka yang menunjuk dan membuka jalan walaupun ada yang tidak pernah mengajar di sekolah.     Akhirnya aku jadi cikgu.
                                                               (Bersama mentee 2013)
Jumaat, 23 November 2012.

TRANSFORMASI SHAKS

Lebih sedekad lalu SHAKS diasaskan bagi menyediakan peluang pendidikan kepada anak-anak tempatan yang berkebolehan tinggi dalam akademik. Pelbagai pengalaman dilalui dalam tempoh tersebut. Semuanya dihimpun bukan sahaja menjadi nostalgia, bahkan sebagai bukti, modal dan pengajaran yang membentuk karakter sebuah Sekolah Rancangan Khas menjadi Sekolah Kluster Kecemerlangan.
SHAKS telah berfungsi sebagai medan dan taman ilmu bukan sahaja bagi murid tetapi guru serta semua warganya. Alam persekolahan menengah menyediakan pengalaman pendidikan unik dalam menempa keperibadian remaja sebelum mereka melangkah keluar sebagai anggota masyarakat. Murid mesti bijak memanfaatkan ruang dan peluang, sementara guru perlu bijaksana dalam mencari pendekatan meningkatkan sistem penyampaian. Acuan atau celupan dengan jenama SHAKS mesti dinilai dan ditambahbaik. Justru, semua kekuatan warga SHAKS serta mereka yang berkepentingan mesti diganding dan digembleng.
 Tempoh kematangan SHAKS yang sedemikian singkat membawanya ke kelompok cemerlang dalam agenda pendidikan menengah. Namun kita masih perlu mencari kekuatan meneruskan perjalanan untuk meningkat kepada satu tahap lagi:Sekolah Berprestasi Tinggi. Itu pun bukanlah puncak atau target yang mutlak kerana visi kecemerlangan yang didokong tidak akan ada hujungnya. Ini kerana kecemerlangan itu ialah satu perjalanan, bukan destinasi.
 Cabaran 2012 menuntut kita untuk terus melangkah gagah ke hadapan bersama satu lagi agenda pendidikan negara yang dibentangkan iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Pelan yang mengandungi 11 anjakan serta 3 gelombang adalah kenyataan dan proses yang akan kita alami dan hadapi. Transformasi sistem pendidikan negara ini akan menyaksikan para guru menggunakan kekuatan kolektif bagi memastikan murid mempunyai 6 ciri yang diharap membolehkan mereka bersaing di peringkat global: Pengetahuan, Kemahiran Berfikir, Kemahiran Memimpin, Kemahiran Dwibahasa, Etika dan Kerohanian dan Identiti Nasional.

Mari kita memuhasabah diri menjadi pemikir reflektif untuk menilai modal dan kekuatan kita setakat ini. Berapa ramai murid kita berketrampilan sedemikian? Apa yang sudah kita usahakan? Apakah kesan atau impaknya? Apa lagi yang mesti diusahakan? Bagaimana kita akan melakukannya? Nah! Jika kita berani menanyakan soalan-soalan demikian, kita akan berani bersama-sama menjayakan agenda transformasi dan perjalanan kecemerlangan di hadapan. Mari kita melangkah sederap membawa SHAKS melalui pengalaman hebat seterusnya.

Pengetua
November 2012

Thursday, March 1, 2012

Pengalaman PrOD Di Tiga Sekolah

PENGALAMAN MELAKSANAKAN PrOD
Oleh
Abdul Rahim bin Mohd Yunus
Pengetua SMK Sultanah Hajjah Kalsom, Kuantan, Pahang

ABSTRAK

Salah satu cabaran pelaksanaan Program Melonjakkan Kecemerlangan Sekolah Melalui Pembangunan Organisasi (PrOD) yang dijangka dari awal oleh para Konsultan Kanan IAB ialah pertukaran pengetua yang terlibat dengan program latihan ini. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan berlaku kesan limpahan dalam bentuk positif apabila program ini  tersebar bersama pergerakan pengetua. Setelah menjalani latihan PrOD di bawah kelolaan Institut Aminuddin Baki (IAB) mulai 2008, elemen latihan tersebut telah digunakan dalam beberapa persekitaran yang berbeza.  Beberapa elemen yang dapat dijadikan formula kejayaan pembangunan sekolah  telah dikenalpasti berdasarkan pengalaman dua kali bertukar sebagai pengetua pada tahun 2009 dan 2011.  Kertas ini menghuraikan pendekatan pengetua melaksanakan PrOD di tiga sekolah yang berbeza (Sekolah Model Khas, sekolah harian dan Sekolah Kluster Kecemerlangan). Huraian deskriptif ini ialah aplikasi model dan elemen asas latihan PrOD. Seterusnya, dibincangkan juga kesan  pelaksanaan PrOD dan akhirnya beberapa cadangan yang mungkin dapat meningkatkan keberkesanan PrOD di sekolah-sekolah.



 A.            Pendahuluan
Latihan PrOD  Kohort 1 bermula pada 2008 dan berakhir pada tahun 2010. Dalam masa tersebut banyak perubahan telah berlaku dan antara perkara yang dijangkakan ialah pertukaran pengetua (Mary Yap, 2009). Perubahan yang dijangkakan ini juga diharap akan dapat menyebarkan pendekatan pembangunan organisasi dalam acuan PrOD. Ini kerana  pelaksanaannya ialah mengikut pengetua yang terlibat. Idealnya, sekolah yang baru diterajui pengetua PrOD asal akan  menjadi medan atau ‘frontier’ baru untuk dipertingkat, sementara sekolah yang ditinggalkan diharap akan terus berkembang pembangunan organisasinya.

B.            Pendekatan Membangunkan Sekolah Sebelum PrOD
Tiada perkataan “Pembangunan Organisasi” atau “OD” (Organizational Development)  disebut-sebut dalam menjalankan tugas sebagai pengetua baru mulai Julai 2005.
“…a fresh principal (a rookie) with a clear mission but very little instructions.”
                                                                                                        (Abdul Rahim, 2009)

Usaha mencapai “kecemerlangan sekolah” ialah perkataan yang lebih popular melalui Program PKKP (Peningkatan Kurikulum dan Kemajuan Pendidikan) bagi warga pendidikan di Pahang.  Bidang yang ditumpukan dalam PKKP ialah kurikulum, kokurikulum, bina insan, 3K dan pengurusan pejabat. Folio A (Analisis dan Diagnosis) dan Folio B (Program) ialah aktiviti dan dokumentasi yang cuba diusahakan semua sekolah dalam program tersebut. Pengurusan Strategik berdasarkan kursus di IAB juga menjadi “modal” menjalankan tugas.

Pada peringkat awal, perhatian lebih ditumpukan kepada asrama dan akademik. Saya telah memberikan fokus kepada membentuk pasukan pentadbir dan warden asrama terlebih dahulu kerana  itu ialah isu strategik ketika itu. Sambil mewujudkan  pasukan kerja yang baik di asrama,  saya turut menggunakan sepenuhnya Jawatankuasa Pengurusan Sekolah bagi meningkatkan keupayaan perancangan dan tindakan di sekolah.

Orientasi  kesedaran kepada penghayatan agama Islam yang menjadi asas kekuatan penting sekolah ini sejak penubuhannya telah  kami teruskan. Kami mementingkan mesyuarat dan keputusan bersama  yang sangat diperlukankan (Al-Imam Al-Nawawi, 2000) bagi menentukan tindakan dan melaksanakan muhasabah atau refleksi.  Ada juga unsur ketenteraan yang saya ketengahkan dalam melaksanakan tugas mendisiplinkan asrama dan  menganalisis tindakan (Abdul Rahim, 2009). Telah ada slogan ‘Nothing Personal’ dan ‘Purely Professional’ yang saya tambahkan kepada ‘No Hurt Feelings’ dalam ‘After- Action Review’ ( AAR)  pasukan tentera (Townsend & Gebhardt, 2004)  .

C.            Pendekatan Pelaksanaan PrOD
Sekolah Model Khas:SMK Seri Bentong (2008-2009)
Sekolah yang menempatkan murid Tahap 2 Sekolah Kebangsaan (Tahun 4, 5 dan 6) dan menengah (Tingkatan 1 hingga 5) memerlukan peranan Guru Besar dan Pengetua sekaligus. PrOD memberi fokus pembangunan organisasi melalui kepimpinan serta keberkesanan peribadi.
Kami cuba memanfaatkan proses yang digariskan dalam latihan PrOD bagi memenangi hati dan minda ke arah kesedaran yang merangkumi semua peringkat pemimpin yang digariskan dalam PrOD iaitu pemimpin: atasan, pertengahan, baru dan murid.
Fokus tambahan sebagai modal kami ialah usaha meningkatkan  Keberkesanan Peribadi (‘Personal Effectiveness’) yang  dirangkumkan dalam 2 sifat pegangan Pemimpin Aras 5 (Level 5 Leaders) iaitu ‘Professional Will’ dan ‘Personal Humility’.

Tindakan Pengetua dan Guru Penolong Kanan Pentadbiran
1.       Melakukan refleksi awal melalui analisis SWOT tentang kekuatan, kelemahan, peluang serta ancaman sendiri serta ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan,
2.       Mengenalpasti isu-isu strategik kepimpinan,
3.       Merangka Pelan Tindakan PrOD Fasa 1 bagi perancangan dan pelaksanaan tahun 2008 hingga 2009,
4.       Membina Carta Gantt untuk kawalan dan pemantauan.
Pelan Tindakan Fasa 1 yang dirancangan bersama Guru Penolong Kanan pentadbiran dijelaskan melalui jadual berikut:







Antara inisiatif peribadi Pengetua:
·         ‘Monday Sharing’ – perkongsian profesional selepas perhimpunan/mesyuarat,
·         Menghadiahkan buku kepada semua Guru Penolong Kanan yang berkisar kepada pembinaan sahsiah serta motivasi professional,
·         Melibatkan murid dalam merangka program sekolah, mendapatkan pandangan dan cadangan melalui sesi sumbangsaran (‘brainstorming’)
·         Perjumpaan dan latihan khas untuk Exco Asrama dan Pengawas,
·         Perjumpaan berkala Pengetua dengan murid mengikut tingkatan,
·         Membudayakan penulisan peribadi dalam bentuk esei, anekdot, refleksi, sajak dan bahan pembentangan yang berkaitan tugas. Bahan-bahan ini diterbitkan melalui Arena Seri yang diusahakan pula oleh Pusat Sumber Sekolah. Guru-guru akhirnya banyak memberi sumbangan sehinggalah edisi terakhir (ke-7– Edisi Khas PrOD) ketika saya meninggalkan sekolah,
·         Memilih lagu tema profesionalisme (“lagu Pengetua”) - “Ayat- Ayat Cinta” untuk dihurai secara lisan bertulis untuk dihayati oleh warga sekolah,
·         Menyampaikan kemahiran membuat nota melalui kaedah MindMap – setiap kali orientasi murid baru dan slot kemahiran belajar untuk guru dan murid,
·         Pemeriksaan kerap asrama pada waktu persekolahan dan lewat malam,
·         Menyiasat dan menyelesaikan kes-kes pelanggaran disiplin bersama warden dan guru,
·         Bertugas menjaga Kelas Tahanan pada hujung minggu dan merangka modul khas “Gerak Seri”,
·         Menjadi imam solat berjemaah, memimpin solat hajat dan bacaan surah Yaasin,
·         Merangka dan melaksanakan Pakej Induksi Seri Bentong atau orientasi guru baru supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran tugas di SMKSB,
·         Mengambil bilik asrama dan kelas angkat untuk memulihkan keceriaan,
·         Menghantar murid yang sakit ke klinik atau hospital,
·         Membuka peluang semua guru, staf dan murid memberi pendapat secara bertulis atau lisan serta “mendengar” sebarang aduan,
·         Memilih tugas paling sukar dalam pembahagian kerja pasukan.

Selain itu, aktiviti seperti menulis surat kepada diri sendiri yang dinamakan Visi Peribadi, maklum balas yang dipanggil ‘Ticket to Leave’ dan refleksi kendiri dapat diselesaikan tanpa perlu mengambil masa yang lain. Saranan oleh PrOD ini menjadi cara yang amat berkesan dan mudah untuk mendapat maklumbalas segera dari semua guru. Selain pihak pengurusan dapat menilai aktiviti sekolah, guru juga terlibat dalam proses membangunkan sekolah.
  • Menawarkan bengkel dan membentangkan strategi menangani cabaran dalam bilik darjah, 
  • Menetapkan standard minimum untuk aktiviti atau hasil kerja seperti dokumentasi, pelaporan dan keceriaan,
  • Memberi peluang dan menonjolkan guru-guru untuk pengendalian program di peringkat daerah dan negeri seperti Kem Kepimpinan Asrama, Karnival Sekolah Rancangan Khas dan seumpamanya,
  • Membantu PPD untuk melatih GSTT dengan menyediakan modul asas; dengan bantuan guru-guru Seri Bentong yang juga bertindak sebagai penceramah dan fasilitator,
  • Membudayakan penyediaan dokumentasi bagi setiap aktiviti sekolah,
  • Menjadikan aduan pelanggan sebagai alat rangsangan, membangkitkan emosi dan akhirnya menjadi asas penyatuan dan tindakan secara rasional. Saya mewujudkan rasa kurang selesa   berada di zon selesa. Mewujudkan krisis dalam bentuk ini adalah pendekatan tentera yang digunakan dalam pemasaran perniagaan: “The best strategy is the courage to attack yourself” (Ries & Trout, 1986).  Krisis dan ‘self-attack’ dalam bentuk terkawal juga saya gunakan dalam menguji Jawatankuasa Pengurusan dan Guru Penolong Kanan.
 Penegasan yang diulang-ulang kepada guru:
  • Menganggap murid sebagai anak-anak sendiri. Jika tidak dapat mencapai tahap anggapan tersebut guru-guru disarankan  membayangkan apa yang diharap jika anak-anak mereka sendiri berada di tempat murid-murid,
  • Murid adalah amanah oleh Allah dan kita akan dipersoalkan tentang amanah,
  • Kerja membina sahsiah serta mengajar kebaikan, kecemerlangan serta menjauhi kejahatan dan keburukan ialah “kerja Nabi” yang diamanahkan bagi penerusan umat yang berjaya di dunia dan akhirat . 
  
Sekolah Harian:SMK Bukit Rangin (April 2009-Ogos 2011)
Saya ialah pengetua lelaki pertama di  SMKBR; sekolah harian luar bandar (diasaskan pada 2001) tanpa asrama yang muridnya melebihi 1100 orang. Latar belakang murid serta guru yang bertugas di pinggir bandar besar menyediakan cabaran yang berbeza. Isu utama ialah masalah disiplin murid . Isu strategik yang dikenalpasti ialah kehadiran tahunan murid ke sekolah yang tidak pernah mencapai 90%.
Keadaan tersebut turut memberi kesan kepada keputusan pelajaran Bahasa Malaysia di peringkat SPM yang tidak pernah mencapai kelulusan 100%. Rekod juga menunjukkan bahawa kehadiran murid dalam peperiksaan SPM juga tidak pernah 100%.
Guru-guru amat prihatin akan kecemerlangan tetapi terganggu dengan masalah disiplin; khususnya kekasaran/sikap agresif  murid, tidak cakna sebahagian penjaga/ibu bapa dan kegagalan mengawal tingkahlaku murid.
Langkah awal yang kritikal bagi menentukan perubahan di SMKBR:
1.  Mendapatkan maklumbalas dari guru melalui ‘Ticket To Leave’ – 2 soalan sahaja bagi mengenalpasti pandangan ,  isu tersembunyi (keluhan, harapan, masalah ),
2.      Bertindak menangani masalah disiplin yang serius secara tegas dalam kelembutan,
3.       “Terbuka dan mendengar” melalui bersemuka dan saluran elektronik,
4.    Memastikan kehadiran dilihat dan dirasai – pemimpin tempatan (Tok Empat,Tuan Imam,  Yang Berhormat), agensi kerajaan (Pondok Polis, Klinik),
5.   Membina keyakinan bahawa  guru sebenarnya ‘in-charge’, diamanahkan dan mesti menerima “sumpahan” atau tanggungjawab sebagai orang berilmu,
6.      Meletakkan guru dan murid ditempat masing-masing melalui penegasan dalam perhimpunan rasmi, perjumpaan dan taklimat,
7.       Membina pasukan pengurusan yang “berbeza”.

Langkah susulan:
1.       Mesra murid melalui sentuhan peribadi,  memastikan perjumpaan dengan kumpulan murid secara terancang,
2.       Menekankan standard minimum dalam dokumentasi,
3.       Meyakinkan guru bahawa masih ada ruang membaiki prestasi sekolah dan keluar dari keselesaan (waktu balik, jadual kokurikulum, mesyuarat)
4.       Menghurai potensi akademik melalui data,
5.       Meningkatkan unjuran kecemerlangan akademik daripada zon selesa dan ‘play safe’,
6.       Memastikan data digunakan untuk membuat keputusan; bukan andaian,
7.       Meneliti latar belakang murid, memahami status sosio-ekonomi, mengutamakan kebajikan dan mempromosi bantuan untuk mereka (Cakna Pengurusan , Bantuan Hari Raya, Bantuan Anak Yatim)
8.    Melaksanakan Program Pasca PMR secara terancang, terkawal dan relevan dengan keupayaan murid,
9. Mengaktifkan forum maklumat, perbincangan dan maklumbalas  melalui blog sekolah (smkbrangin.blogspot.com) yang dibangunkan sebagai salah satu aktiviti Pasca PMR,
10.   Membina rangkaian sahabat dengan sekolah berdekatan dan sama “liga” dan bekerjasama dalam program kecemerlangan akademik,
11.   Menggunakan hubungan baik dengan SBP dan menumpang program kecemerlangan,
12.   Membina kerjasama  erat dengan UMP, Kolej Matrikulasi, UIAM, Kolej Shahputra, UiTM dan
13.   Mempromosi komitmen sekolah melalui orientasi SK dan lawatan ke rumah murid,  
14.   Menggerakkan perubahan melalui Matriks ERRC saranan ‘Blue Ocean Strategy’,
15. Menyesuaikan pelbagai tindakan meningkatkan kecemerlangan SMKBR melalui pengalaman PrOD di SMKSB.


Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK):SMK Sultanah Hajjah Kalsom (Ogos 2011-Sekarang)
SMK Sultanah Hajjah Kalsom Kuantan atau lebih dikenali sebagai SHAKS dinobatkan pada 2011 sebagai SKK Kohort 4. Hampir 100% daripada 568 muridnya tinggal di asrama Sekolah Rancangan Khas negeri Pahang ini. Tugasan di sini menyamai SMKSB; dengan cabaran yang makin “besar, berbulu dan manakutkan”. Statusnya membawa jangkaan di luar kebiasaan pada pandangan komuniti pendidikan setempat, negeri dan kebangsaan.

Pelaksanaan perkara asas PrOD di sini perlu  disegerakan dan ada tanda-tanda yang menunjukkan boleh diserap lebih cepat. Hubungan melalui blog SMKBR dengan warga SHAKS (guru, murid dan bekas murid) sebelum saya bertugas di sini telah membantu; di samping hubungan lama sebagai rakan setugas di SMK Abdul Rahman Talib, Kuantan era 80-an hingga 2005 dengan lebih 10% gurunya turut menjadi aset. Reputasi mendahului kedatangan saya di SHAKS seperti juga di SMKBR.

Perkara yang telah dilaksanakan setakat ini:
1.  Memulakan pengenalan aspek keberkesanan peribadi pemimpin hadapan (G11), pemimpin pertengahan (Ketua-Ketua Panitia, Penyelaras, Setiausaha, Ahli-Ahli Jawatankuasa Induk), pemimpin baru (guru baru berkhidmat di SHAKS dan guru novis) dan pemimpin murid (Pengawas Sekolah, Asrama, AJK Tertinggi semua peringkat),
2.       Mendapatkan maklumbalas awal melalui ‘Ticket To Leave’   - guru dan murid,
3.  Sedapat-dapatnya mempraktikkan ‘professional will’ dan ‘personal humility’ dalam semua   keadaan. 

D.            Formula Keberkesanan/Kejayaan & Potensi Yang Perlu Dimanfaatkan
1.            Kesedaran Profesional
·         Peribadi –persepsi terhadap kepimpinan, yang dipimpin,
·         Pasukan Pengurusan Mantap (‘A-Team’)/Kumpulan Pemikir (‘Think-Tank’)
·         Mengoptimumkan peranan Guru Kaunseling Sekolah
2.            Menentukan fokus melalui proses Pengurusan Strategik
·         Analisis persekitaran
·         Mengenalpasti isu strategik
·         Bertindak segera dan jelas (“Must be done and must seen to be done”)

3.       Pelan Tindakan 
4.       Mendokumentasi proses  
5.       Menulis anekdot atau catatan pengalaman 
6.       Mengubah pandangan guru, murid dan staf sokongan
·         Tenang dan mesra dan (‘cool head and warm heart’)
·         Menepati kata dan janji
·         Melatih guru dan murid melalui kepercayaan dan pengupayaan (‘empowerment’ – ‘letting go so that the others can get going’)
·         Mendekati , menghormati dan mendahulukan murid

7.       Mengubah pandangan ibu bapa atau penjaga
·         Membantu & memudahkan urusan
·         Menghormati & mengutamakan pelanggan sebagai tetamu

8.       Memanfaatkan latihan dan  apa yang ada dalam kawalan 
9.       Mengusahakan dan mengesan tanda-tanda kejayaan awal (‘small gains’)

E.            Kesan Pelaksanaan PrOD
                1.         Pengiktirafan komuniti setempat, daerah, negeri dan kebangsaan terhadap sekolah,
                2.         Peningkatan keyakinan peribadi dan penglibatan di peringkat daerah, negeri,                                  
                            kebangsaan dan antarbangsa,
               3.          Peningkatan kecemerlangan akademik (‘acid test’ Rujuk Jadual) dan kokurikulum
  

TAHUN (Fasa PrOD)


SEKOLAH

PEPERIKSAAN

GPS

ANUGERAH




2008




SMKSB




UPSR




1.08 (dari 1.16-2007 dan
               1.29-2006)
Menerima
6 Anugerah:
Prestasi  Cemerlang, Anugerah
PKKP Akademik &             Anugerah Gading Bersilang Yayasan Pahang




PMR




1.40 (dari 1.36-2007 dan
1.46-2006 )
Menerima
5 Anugerah:
Anugerah PKKP Akademik JPNP  & 4 Anugerah Gading Bersilang Yayasan Pahang


SPM


3.05 (dari 3.3-2007,
3.42-2006 dan
4.51-2005)
Anugerah Menteri
Besar Pahang Keputusan SPM SRK 2008
(Terbaik selepas SKK –SMART sekolah ‘benchmark’




2009




SMKBR

PMR


2.41 (dari 2.47-2008)

Hadiah Kecemerlangan PPD &JPN

SPM

4.91  (dari 4.89-2008)

Hadiah Kecemerlangan PPD &JPN
Lulus 100%



2010




SMKBR



PMR




2.25
Hadiah Kecemerlangan       Menteri Besar Pahang                     Sekolah Menengah Luar Bandar Terbaik PMR 2010


SPM


4.92
Anugerah Kecemerlangan Akademik                                           Keseluruhan Peperiksaan SPM &
3 Anugerah Kecemerlangan Mata Pelajaran
Peningkatan Kualiti , 10 mata pelajaran meningkat

4.       Menjadi ‘benchmark’ dan rakan kongsi daerah, negeri dan antarabangsa,   
5.       Dicalonkan Anugerah ASAT, ASC, Kluster(SMKSB) kecemerlangan dan dicadangkan sebagai SRK (SMKBR)

F.            Cadangan Meningkatkan Keberkesanan
               1.        Rangkaian dan jaringan sekolah “Prodian” – hubungan ‘benchmarking’, kelompok,
               2.        Khidmat ‘coaching dan mentoring’ inisiatif IAB/JPN di sekolah,
               3.        Senarai semak pelaksanaan elemen,
               4.        Buku panduan/’handbook’,
   5.        Perkongsian maya – blog, portal,
   6.        Latihan asas –  ICT untuk Pentadbir, Pengurusan Projek, Pengurusan Konflik,
   7.        Kajian yang dibentangkan dan tindakan susulan,
               
G.           Penutup
Pelaksanaan PrOD menuntut komitmen peribadi serta stamina kerohanian, mental dan fizikal. Sebagai peneraju kita diamanahkan dengan ilmu dan tanggungjawab. Menyedari keupayaan individu yang terbatas, inisiatif memotivasi dan mempengaruhi staf dan murid amat penting agar kesan pembangunan bukan sahaja kekal tetapi terus meningkat walaupun peneraju PrOD yang asal telah bertukar.  Kepekaan pasukan kepada keberkesanan aktiviti atau program mesti ditingkatkan. Amat perlu di teliti sejauh mana kesan atau tinggalan PrOD di sekolah-sekolah rintisnya; sama ada yang masih diterajui pengetua asal atau diganti pengetua baru.  Penyampaian elemen asas latihan PrOD yang paling penting iaitu keberkesanan peribadi patut dipastikan pada tahap paling mengesankan bukan sahaja kepada peserta kohort tetapi juga untuk pentadbir sekolah dalam semua kursus pengurusan organisasi pendidikan di IAB.


Rujukan
Abdul Rahim bin Mohd Yunus (2009) Best Practices of Organizational Development Program (PrOD)
in SMK Seri Bentong. Kertas pembentangan di Seminar Malaysia-Oman, di Hotel Empress Sepang.

Al-Imam Al-Nawawi (2000) Terjemah Al-Azkar, Pustaka Antara:Kuala Lumpur.

Perunding Kanan Institut Aminuddin Baki (2008) Program Melonjakkan Kecemerlangan Sekolah Melalui Pembangunan Organisasi (PrOD). Institut Aminuddin Baki.
Mary Yap Kain Ching (2009) A New Thinking Towards Improvement Through Organization Development. Kertas pembentangan di 14th International Convention On Thinking, Kuala Lumpur.

Townsend, Patrick L.dan Gebhardt, Joan E. (2004) How Organizations Learn: Investigate, Identify, Institutionalize. Viva Books Private Limited: New Delhi.
Ries,  Al dan Trout,Jack (1986) Marketing Warfare. Harper Collins:New York.