Thursday, February 14, 2013

Sajak:Khas Untuk Anak-anak Di Asrama Putera



Anak-anakku, jikalah aku punya kuasa dan kekuatan, ingin kujadikan kenyataan:

Kau kenal Allah dan Rasul,
 agar kata dan perbuatan berhikmah dan tidak tersasul.
Dampingi Al-Quran agar terang jalan,
agar segala ceritaan, teguran dan panduan jadi bekalan.
Cintai  Sunnah,
 agar hidup Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fatanah.

Bebas dan bersih atap dari sekalian penyangkut baju dan selipar yang sengaja dilempar,
barangkali mencabar guru untuk hilang sabar.
Bersih segala ruang dari sampah,
kerana sering kudengar pekerja menyumpah, bimbang juga warden  kian menyampah.
Bermain pada masa dan tahu ketika;
agar kerja sempurna dan guru tidak masam mencuka,

Tiadalah yang merokok; 
agar tidak sia-sia, lantaran membakar wang ibu bapa yang lelah bekerja setengah bongkok.
Tidak terbiar pakaianmu berselerak di ampaian, yatim piatu ditinggal tanpa nama dan tuan;
sedangkan ibu bapamu sering mengira dan mencongak biaya anak-anak dihujung-hujung bulan.
Elak mencuri, mengkhianat dan membuli,
                haram halal tak peduli, makhluk sekalian mengutuk, agama melarang dan mengeji,

Kau lena tidur; tanpa awal-awal pagi tersungkur, ingatan jelas tanpa kabur,
agar kesan ilmu dan amalmu bakal tersohor.
Andainya dapat kau tidur bertempat, bukan di merata-rata bilik dan katil merempat,
agar bukan dalam mimpi sahaja kau hebat.
Kuat keinginanmu membaiki diri,
bukan memanja dan melayan apa saja yang terlintas di hati;

Mendoakan kami dalam munajat,
            moga kuat, sabar, waras dan terus sihat,
kerana kami ingin mengangkat martabat,
tugas kami kian memberat,
di akhir hari dan musim membilang penat,
dalam keadaan masyarakat kian gawat,
bahkan bakal dipersoal di akhirat.

Pengetua
22 November 2012

SHAKS:Doa dan Hajat di Hati…


Ditugaskan ke SHAKS bukan pilihan tetapi ketentuan takdir. Sebagai mana aku tidak meminta untuk jadi pengetua, demikianlah aku tidak menjangka akan diletakkan Allah di sini pada 2011. Allah tidak akan membebankan seseorang lebih dari kemampuannya. Ayat terakhir surah Al-Baqarah dengan jelas mengungkapkan demikian. Aku mesti berusaha, berdoa dan bertawakal agar dapat menunaikan amanah mengislahkan diri dan mereka yang aku pimpin.


   Melihat SHAKS dari Ogos 2011, kalaulah aku boleh mengubah, banyak yang aku inginkan. Keinginan itu menjadi doa, hajat dan harapan. Aku tak tahu sampai bila akan tertunai tetapi aku inginkan:
1.       Kawasan sekolah bersih sepanjang masa 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kerana untuk semua warga SHAKS, itulah wajah dan maruah,
2.       Semua murid dapat bangun awal, menunaikan solat subuh berjemaah; tanda umat bertuah,
3.       Surau dihormati dan dimakmurkan; tenang untuk munajat tanpa kebisingan seperti di padang atau pasar,
4.       Tiada makanan dibazir, dicampak merata-rata kerana tamak atau lupa; sedangkan ramai manusia di luar sana hanya kais pagi makan pagi. Kadang-kadang kais pagi sampai malam pun tak ada hasilnya,
5.       Bebas kecurian; terutama sekali di asrama kerana aku telah melihat pelbagai kesusahan. Hiba dan panasnya perasaan ibu bapa mangsa; kadang-kadang aku hanya mampu mendengar dan bersimpati,
6.       Biarlah semua pencuri dan pembuli ditunjukkan agar dapat disingkirkan dari kalangan murid-muridku,
7.       Murid faham dan mengamalkan tabiat tidur yang baik serta sesuai agar mereka memperolehi rehat dan tenaga yang cukup untuk menghadapi pelajaran tanpa tersungkur di meja tulis dan dewan peperiksaan,
8.       Tiada contengan pada dinding kerana itu melambangkan keburukan perangai dan asuhan yang tidak berkesan,
9.       Bersih atap daripada penyangkut baju serta selipar yang sengaja dilempar; menjelaskan jiwa kasar, tiada rasa malu dan lepas laku,
10.   Tiada jeritan, makian dan carutan yang memecah ketenangan fikiran di taman ilmu ini kerana pembawaan asuhan keluarga dan pergaulan sosial terpancar dalam kalimat-kalimat keji demikian.

   Seperti teori ekonomi yang mengungkapkan bahawa kehendak manusia tidak terbatas tetapi sumber terbatas,banyak lagi yang aku inginkan sebenarnya. Aku ingin rasa cinta kepada sekolah tersemai dan tersebar dalam kalangan warga SHAKS agar terbit rasa ingin berkorban atas cinta itu.

   Seperti bertugas di sekolah mana-mana pun, aku lemah berhadapan dengan pelbagai ujian. Syukur, Allah memberikan aku guru-guru dan sebahagian murid yang memahami.  Itu cukup menjadi ubat jiwa. Cuma kalau boleh biarlah semuanya memahami dan bertindak. Bab bertindak tu yang agak sukar kerana hati kita yang tak sama merasa. Tanpa pertolongan Allah, aku tak mungkin dapat menunaikan tanggungjawab. Jika doaku tidak diperkenan sekarang , mungkin akan ditangguhkan ke masa yang lain atau diganti dengan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang aku inginkan. Mungkin Allah tukarkan dengan menghindarkan bala bencana yang hanya Dia yang Maha Mengetahu dan Maha Bijaksana mengaturnya.Maka aku tak boleh mengeluh atas janji Allah dan hikmahnya dalam soal doa dan harapan.



Pengetua
Khamis, 22 November 2012

Tentang Pendorong dan Kenapa Aku Tak Jadi Lain Daripada Cikgu.


Pendorong? Setiap murid ada pendorong masing-masing. Zaman sekolah rendah dulu,Cikgu Siti Fatimah sering memuji dan murah hati memberi markah. Dia pernah tertawa geli hati (agaknya) ketika membaca karanganku dalam kelas. Tajuk “Kalau Saya Jadi Seorang Guru” yang diberikan kepada kelas kami, benar-benar menjadikan aku serius untuk cuba menghayatinya.

Apa yang aku paling ingat dalam karangan itu ialah “aku” akan “mengajar bersunggguh-sungguh” dan jika “murid bising atau tidak buat kerja rumah, aku akan denda mereka dengan berdiri di atas kerusi” (denda popular Sekolah Kebangsaan Balok zaman itu; selain pulas perut atau rotan tapak tangan). Ada elemen pelaksanaan (‘execute’) dan kawalan (‘control’) guru dari sudut pandangan pengurusan hari ini. Aku  tak menyangka sama sekali yang 15 tahun kemudian aku perlu memainkan peranan sebenar “cikgu kalau” itu.

Ayahku cikgu yang mengajar di SK Balok. “Ustaz Yunus” (ada orang Sungai Karang yang memanggilnya “Maalim Yunus” – mu`allim atau cikgu) terkenal garang. Kami tinggal di Sungai Karang Pantai sebelum berpindah menetap di Balok. Waktu malam, dia juga mengajar Kelas Dewasa di Balok Pantai. Kelas yang macam kita lihat dalam cerita Pendekar Bujang Lapok tu.  Arwah tak banyak bercakap; bahkan amat pendiam dan sentiasa memerhati. Sering aku melihat Ayah lama di tingkap. Kalau di Barat, mereka ada ‘favourite couch’, Ayah ada tingkap kegemarannya. Jiran-jiran kami akan sentiasa mengingat posisi biasa Ayah yang meletakkan kedua-dua lengan di tingkap.

Setelah beberapa kali Ayah mendapati aku mengintainya mengajar di bilik darjah, satu hari  aku terdengar Mak dan Ayah berbincang untuk menghantar aku masuk sekolah. Ketika umur aku 6 tahun, aku bergelar murid sekolah. Ayah jadi pendorong selain Mok Cik Imun (nama timangannya Maimun kerana membezakan dia daripada seorang lagi adik Mak yang juga bernama Limah dalam surat beranak) yang sering membacakan cerita untukku. Dia amat suka membaca buku.

Sebelum bersekolah, aku yang kadang-kadang mengikut Ayah ke sekolah akan masuk ke bilik guru dan sudut tumpuanku ialah rak-rak buku. Bukunya tidaklah sebanyak yang ada dalam mana-mana perpustakaan sekolah sekarang. Aku amat suka, bahkan gilakan buku yang kulitnya dihiasi lukisan cantik. Buku zaman dulu jarang ada foto yang menghiasi kulitnya. Maka, sebelum aku mengenal huruf, aku sudah mendengar cerita yang dibacakan dari karya-karya seperti Laksamana Tun Tuah, Batu Belah Batu Bertangkup, Hikayat Raja Gagak, Hikayat Seribu Satu Malam (banyak jilid; yang kalau tak silap, diselenggarakan/disusun oleh Dato’ Onn Jaafar, tokoh nasionalis kita. Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1960-an). Setelah tahu membaca, aku kemudiannya tenggelam dalam keseronokan membaca sendiri buku yang sebelumnya hanya didengar.

Hiburan lain amat terhad; televisyen di Balok ketika itu hanya ada di beberapa rumah “orang-orang kaya” seperti Che Kadir (usahawan dari Kelantan), Syed Abdullah (dekat Sungai Balok), Syed Hamid (Chengal Lempong) dan kemudiannya beberapa rumah lagi. Itu juga terhad kepada beberapa jam waktu siang dan malam. Ayah tak suka aku leka dengan televisyen dan jika balik waktu malam, pintu rumah akan dikunci. Aku dan Abang akan terpaksa memanjat untuk masuk ke rumah melalui ruang antara jenang pintu dengan atap zink. Wayang percuma oleh Jabatan Penerangan (selalu cerita koboi) dan  wayang kelambu berbayar kadang-kadang beberapa bulan sekali muncul di kampung dengan cerita Hindustan atau cerita Melayu.
Walau tak banyak mulut, dia   memang  tegas dan garang ketika mengajar. Terkadang itu menyebabkan ada anak-anak dara tersinggung dan mengadu kepada    ‘boyfriend’. Cerita yang aku dengar, memang ada pemuda yang nak cuba menyekat dia yang berbadan kecil dan menaiki basikal di pertengahan jalan waktu malam. Cuma mereka tak berani kerana cikgu zaman dulu dihormati secara berbeza berbanding zaman ini.
Di rumah, beberapa kali aku melihat anak murid yang datang belajar mengaji al-Quran menangis. Ada kalanya menangis dan terus dan tak dapat membaca, tetapi lebih lucu (bagi kami budak-budak hingusan) ialah apabila ada yang terus membaca dalam tangisan. Menggelegak bunyinya.

Bila dah besar dan teringat riwayat hadis tentang Rasulullah s.a.w. membaca al-Quran dalam solat sambil menangis; yang juga bagai air menggelegak, aku dapat sedikit gambaran. Tak lucu dah. Rupanya memang ilmu yang kita pelajari akan mengubah pandangan kita. Kita akan melihat perkara yang sama daripada sudut yang berbeza.

Kerana garangnya Ayah, aku fikir Mak hantar aku mengaji al-Quran dengan Pok De Deraman (Haji Abdul Rahman bin Mat; meninggal selepas wukuf haji di Makkah) yang pendiam dan  lembut pertuturannya. Hampir tak kedengaran.  Amat disegani di Balok. Pernah jadi iman dan bilal masjid. Kehadirannya dalam sesi mengaji aku geruni walaupun dia tak meninggikan suara. Tiap kali menunggu giliran menghadap, aku berdoa agar tidak dipanggil.

Kemudiannya aku mengaji dan belajar fardu ain dengan Pak Ngah Haji Omar (nama sebenarnya Abu) yang aku selalu anggap ‘handsome’ macam hero siri tv kegilaan kami zaman kanak-kanak: ‘The Six Million Dollar Man’; Steve Austin (bukan ahli gusti tu), lakonan Lee Majors.

Dia terkenal sebagai bilal masjid yang mengalunkan azan yang panjang dan sedikit unik. Bila ada peluang azan zaman remaja di Masjid Balok dulu, memang aku cuba tiru gaya dia. Cuma yang paling bagus aku dapat tiru mungkin cara meletak jari di lubang telinga. Suara dan lagu;‘out’.
Pak Ngah suka berjenaka dan amat penyayang dengan anak-anaknya yang sering bermain di riba atau memanjat belakangnya ketika sedang mengajar. Yang aku lihat berbezanya guruku yang seorang ini, dia suka menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak dengan peluk dan cium. Memang aku suka melihat reaksinya apabila diganggu oleh anak-anaknya.

Kemesraan guru ini mengingatkan juga aku kepada Rasulullah s.a.w. yang dilihat melahirkan kasih sayang kepada kanak-kanak dengan ciuman. Sahabat baginda yang seorang ini hairan dengan cara tersebut kerana dia yang mempunyai ramai anak tidak pernah mencium mereka. Rasulullah seterusnya mengajar kita bahawa orang yang tidak menyayangi, tidak akan disayangi. Aku amat yakin bahawa cikgu mesti menyayangi murid. Prasyarat ini menyediakan guru agar menerima murid tanpa syarat. Senang disebut namun sukar dipraktikkan. Sukarnya hinggakan Kementerian Pelajaran Malaysia melancarkan kempen Guru Penyayang untuk mengingatkan kita semua akan kepentingannya.

Pok Long Rani dari Chengal Lempong, yang juga salah seorang imam di masjid dan guru mengaji al-Quran juga ada pengaruh dorongan yang lain. Suaranya aku kira yang paling enak didengar jika mengaji berlagu. Allah memberikan dia kelebihan itu dan dia juga amat teliti dengan sebutan huruf-huruf. Apabila kami duduk dalam bulatan di masjid  membetulkan bacaan dalam sembahyang dan mengaji al-Quran, memang aku terpukau dengan sebutan huruf dan bacaannya. Ilmu tajwidnya mantap. Bab itulah yang aku kurang kuasai. Dia selalu menggalakkan aku belajar dan menguasai tajwid. Dia puji sebutan aku, tetapi katanya jika tidak handal tajwid, aku akan hanya dapat membaca dengan betul tetapi tak dapat mengajar orang lain.

Zaman persekolahan menengah pula, Cikgu Yang Razali juga pendorong yang memuji dalam seriusnya. Dia memang serius. Aku tak pernah melihatnya ketawa dalam kelas. Kalau dia  senyum sahaja pun ; itu memang hari kami yang amat luar biasa. Garang? Tidak sama sekali! Kami tak rasa  takut, tetapi hormat. Ada cikgu yang memang kami takuti ketika mereka mengajar; tapi bukan Cikgu Yang Razali. Dia pandai tiup trumpet. Aku seronok  jika melihatnya membuat persembahan bersama kugiran sekolah pada Hari Guru. Tali leher halusnya sering berwarna hitam, baju kemeja putih lengan panjang dan berkasut kulit hitam yang runcing dihujung serta berkilat (gaya 60-an) menambah segak; anak Perak yang kehadirannya sentiasa mencuri perhatian dan meruntun rasa hormat.

Dia pernah membelek buku karanganku dan membuat komen bahawa kalau aku belajar dalam aliran sastera, akan ‘score’. STAR Ipoh tiada aliran sastera kecuali di Tingkatan 6. Aku lalui aliran Sains sehinggga SPM dengan keputusan mata pelajaran sains yang tidak cemerlang. Cukup makan sahaja. Aku dapat tawaran ke Tingkatan 6 Sastera di sekolah yang sama.  Telahannya terbukti benar 4 tahun kemudian. Aku pelajar terbaik STPM 1983. Apa yang aku kagumi ialah Cikgu Yang Razali kenal kekuatan muridnya.

Aku seorang sahaja dapat borang tawaran biasiswa MTC (Malayan Tobacco Company) untuk kursus undang-undang di luar negara. Aku dah terbayang akan “ambil law” di UK. Tak sanggup. Panjang ceritanya. Bapa saudara sepupu (sebelah Jerantut) yang menetap di Kuala Lumpur dengan serius menyebut ‘‘Rahim! You fill the form and make sure you send it”. Memang “power” ayat tu. Memang aku fikir dia nak aku jadi lawyer atau majistret atau hakim. Maafkan aku Pak Long Jalil. Takdirku kelihatannya akan beralih.

Aku minat apa yang popular disebut zaman itu sebagai “mass comm”(‘mass communication’). Mohon kursus itu, ditemuduga di ITM Dungun dan berjaya dan dapat tawaran pengajian dengan biasiswa MARA. Aku nyaris jadi wartawan akhbar, pengarang, pegawai perhubungan awam atau personaliti tv macam Ally Iskandar. Glamour! Tentu seronok agaknya!

Tapi takdirku berbeza. Selang beberapa hari kemudian, aku  dapat tawaran Pengajian Melayu di Universiti Malaya. Ringkasnya dan akhirnya,  aku jadi ahli alumni UM dengan dikurniai 2 ijazah dan 1 diploma. Terima kasih  kujunjung untuk kusampaikan kepada semua guruku yang menjadi pendorong. Mereka yang menunjuk dan membuka jalan walaupun ada yang tidak pernah mengajar di sekolah.     Akhirnya aku jadi cikgu.
                                                               (Bersama mentee 2013)
Jumaat, 23 November 2012.

TRANSFORMASI SHAKS

Lebih sedekad lalu SHAKS diasaskan bagi menyediakan peluang pendidikan kepada anak-anak tempatan yang berkebolehan tinggi dalam akademik. Pelbagai pengalaman dilalui dalam tempoh tersebut. Semuanya dihimpun bukan sahaja menjadi nostalgia, bahkan sebagai bukti, modal dan pengajaran yang membentuk karakter sebuah Sekolah Rancangan Khas menjadi Sekolah Kluster Kecemerlangan.
SHAKS telah berfungsi sebagai medan dan taman ilmu bukan sahaja bagi murid tetapi guru serta semua warganya. Alam persekolahan menengah menyediakan pengalaman pendidikan unik dalam menempa keperibadian remaja sebelum mereka melangkah keluar sebagai anggota masyarakat. Murid mesti bijak memanfaatkan ruang dan peluang, sementara guru perlu bijaksana dalam mencari pendekatan meningkatkan sistem penyampaian. Acuan atau celupan dengan jenama SHAKS mesti dinilai dan ditambahbaik. Justru, semua kekuatan warga SHAKS serta mereka yang berkepentingan mesti diganding dan digembleng.
 Tempoh kematangan SHAKS yang sedemikian singkat membawanya ke kelompok cemerlang dalam agenda pendidikan menengah. Namun kita masih perlu mencari kekuatan meneruskan perjalanan untuk meningkat kepada satu tahap lagi:Sekolah Berprestasi Tinggi. Itu pun bukanlah puncak atau target yang mutlak kerana visi kecemerlangan yang didokong tidak akan ada hujungnya. Ini kerana kecemerlangan itu ialah satu perjalanan, bukan destinasi.
 Cabaran 2012 menuntut kita untuk terus melangkah gagah ke hadapan bersama satu lagi agenda pendidikan negara yang dibentangkan iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Pelan yang mengandungi 11 anjakan serta 3 gelombang adalah kenyataan dan proses yang akan kita alami dan hadapi. Transformasi sistem pendidikan negara ini akan menyaksikan para guru menggunakan kekuatan kolektif bagi memastikan murid mempunyai 6 ciri yang diharap membolehkan mereka bersaing di peringkat global: Pengetahuan, Kemahiran Berfikir, Kemahiran Memimpin, Kemahiran Dwibahasa, Etika dan Kerohanian dan Identiti Nasional.

Mari kita memuhasabah diri menjadi pemikir reflektif untuk menilai modal dan kekuatan kita setakat ini. Berapa ramai murid kita berketrampilan sedemikian? Apa yang sudah kita usahakan? Apakah kesan atau impaknya? Apa lagi yang mesti diusahakan? Bagaimana kita akan melakukannya? Nah! Jika kita berani menanyakan soalan-soalan demikian, kita akan berani bersama-sama menjayakan agenda transformasi dan perjalanan kecemerlangan di hadapan. Mari kita melangkah sederap membawa SHAKS melalui pengalaman hebat seterusnya.

Pengetua
November 2012