Monday, November 16, 2009

Epi-log (3/3)

Catatan 3:November 2008 hingga November 2009
”Selamat Mengembala, Menjawab, Mengasah dan Berkayuh”

”Murid kami dah nak exam tapi tak nampak bersungguh pun!” Keluhan cikgu-cikgu kita yang begini sudah semacam klise.” Masam baunya” dan menimbulkan rasa tak selesa. Demam cikgu tak kebah-kebah bimbangkan ’exam” anak murid sejak awal tahun. Demam yang bermula apabila membanding TOV dengan ETR dengan OTI. Demam profesionalisme sebenarnya.

Apatah lagi apabila melihatkan keputusan peperiksaan percubaan yang menggerunkan macam menuruni ’roller coaster’ di taman tema. ”Kalaulah tak naik tadi”. ”Kalaulah jatuh terpelanting”. ”Kalau mati macam manalah anak-anak...” Segala macam kalau (”sejenis pokok yang tak pernah berbuah”) ni tak ada gunanya. Ketika itu, jika berlaku hanya ada dua kemungkinan:OK atau KO.

”Kalaulah tak mengajar kelas exam – dah terlambat (tak berbuah)
”Kalaulah result jatuh merudum (bunyi pun dah ’doom’ dalam Bahasa Inggeris yang bermaksud bala, bencana, kesusahan, maut, kemusnahan, tragedi ).

Cikgu-cikgu tetap takut berdepan pelbagai kemungkinan tetapi turut menyimpan doa dan harapan. Biasanya apabila takut, cikgu sibuk mencari jalan. Kelas tambahan (siang, malam, hujung minggu), konsultasi semasa rehat, klinik, ICU, bimbingan, motivasi, modul, lonjakan/lompatan/pecutan akhir, tips, solat hajat, doa, ’supplement’ atau makanan tambahan untuk minda – vitamin, kismis, madu, kurma, jus, air ( segala yang boleh ditelan, dimamah, di minum, berbiji dan berair), motivasi, mohon restu, rehat minda dan macam-macam lagi (tersekat nafas menyebutnya) adalah sebahagian usaha cikgu yang ramai orang tahu tapi orang ramai tak nampak besar dan serius.

Bagi cikgu-cikgu ni, ’hope is not a method’ - macam judul buku yang ditulis oleh Gordon Sullivan, seorang jeneral bersara tentera Amerika apabila menjelaskan betapa profesional, objektif, strategik serta berkesannya organisasi tentera yang dianggap ”organisasi yang paling berkesan sepanjang zaman” .

Cikgu-cikgu memang kreatif dan profesional mencari jalan yang bukan dari andaian tetapi melalui pemerhatian, data, dan fakta . Memang ada segelintir yang mencari alasan untuk tidak bersungguh-sungguh tetapi itupun setelah ”nampak” bahawa usahanya tidak mendatangkan hasil. Sebahagiannya mendapati anak murid sukar, payah, liar atau tak mahu diajar.

Jika kita membuat refleksi secara jujur, barangkali akan jelas bahawa anak murid ada yang ”terperangkap” di dalam lubang yang mereka gali setelah usaha ”gali lubang-tutup lubang” menemui kegagalan. Bungkus!

Mereka tak mahu berada dalam situasi begitu tetapi keadaan memaksa dan menyeksa. Mereka nak releks, lepak, bahkan mencipta pelbagai escapism tetapi kenyataan yang pahit (’brutal truth’) iaitu mereka mesti menghabiskan sekolah dengan kejayaan akademik atau berdepan dengan stigma seorang yang ”kurang atau tak cerdik”, ”tak pandai”,”tercicir”, ”terlingkup”, ”kantoi” dan segala yang hodoh dan hina pada mata dunia materialistik. Itu pun ada yang mengambil jalan macam Aiman: tak kisah...

Mereka telah lama terkena dos hiburan yang berpanjangan, keseronokan palsu yang ditayang dan dijaja saban hari melalui pelbagai media dan bahan maklumat yang sedikit sebanyak meracun minda atau sekurang-kurannya ”melarikan tumpuan” terhadap matlamat sebenar hidup dan kehidupan. Memang semua itu jadi ’escapism’ mereka dalam alam persekolahan yang menyeksakan.

Ramai pelajar lelaki (berdasarkan survey mudah) telah menonton bahan lucah era multimedia yang bisa ”mencopot jantung kakek-kakek”. Ada yang seawal tahap satu sekolah rendah! Dari mana diperolehi? Jangan marah. Kebanyakanya dari bilik ayah dan abang! Ada juga dari kawan.

Budak lelaki manakah yang tak terangsang rasa ingin tahu dan terus mencarinya jika ada peluang? Budak lelaki manakah yang akan tahan godaan apabila bahan-bahan begini begitu mudah bertukar tangan melalui telefon 3G, begitu mudah dibeli atau dimuat turun dari kedai telekomunikasi. Telefon bimbit dan ’lapto’p adalah antara bahan yang masuk senarai utama untuk dimiliki (jika mampu). Di sekolah bahan-bahan lucah tersebar melalui ’pen-drive’, ’SD card’, ’micro-SD’ dan media simpanan maklumat yang seumpamanya.

Itupun belum lagi ditambah dos masalah rumahtangga ibu bapa mereka, masalah kemiskinan, keluarga berpecah, penderan mental, fizikal (dan seksualnya sekali bagi yang malang). Jadi jika ramuannya sudah demikian, apakah yang dapat kita harapkan daripada mereka?

Bayangkan pula masyarakat sekeliling yang bersifat nafsi-nafsi , kau-kau, aku-aku, tanpa peduli; jauh sekali cakna akan jalan atau hala yang benar serta jelas. Kita seperti sedar akan penghujung atau kesudahan jalan murid-murid sedemikian tetapi setakat manakah yang cikgu dapat lakukan untuk membantu?

Masyarakat memang tidak kedekut juga memuji guru. Cuma harapan dan bebanan yang dipikul oleh guru zaman moden ini amat berat. Hanya yang cekal dan yakin akan pertolongan serta ganjaran hari akhirat akan terus ”bertongkat paruh selepas patah sayap” . Bersaksilah bahawa yang sebahagian ini akan berjaya!

Saya ada kes pelajar-pelajar perempuan yang ”dimandikan” guru perempuan serta disuruh berwuduk dan solat (dalam keadaan bersuci) buat pertama kali dalam usia 15 belas tahun. Juga ada yang mengajar berwuduk yang betul pada usia 17 tahun! Ada murid-murid lelaki dan perempuan Muslim yang tak pernah mandi hadas walaupun dah lama baligh dengan bangganya (macam iklan Naruto).

Nanti sekejap. Adakah ini seperti akan menghala kepada menuding jari, salah-menyalah (bukan sayang menyayang nyanyian Jamal dan Sarah)? Tidak sama sekali.

Semua orang ada peranan. Pelajar sendiri, ibu bapa, guru, anggota masyarakat, alim ulama, NGO, media massa, PPD, JPN, KPM dan kerajaan memang ada sumbangan dan peranan. Kita boleh memilih untuk membiar, melihat (sahaja), buat-buat tak nampak dan melarikan diri. Kita juga boleh mengurang, mencegah, mengubat, merawat, mencari jalan dan terus mencari jalan melepaskan siksaan jiwa murid atau pelajar; yang apa pun orang kata, tetaplah mereka itu budak-budak.

Atas nama budak dan murid (yang bermaksud berkehendak) itulah maka yang bakal banyak berdiri menjawab persoalan tentulah ibu bapa dan guru. Atas nama budak berwarganegara Malaysia pula tentulah pihak-pihak yang lebih atas bakal menanggung dan menjawab. Terjemahan dari hadis yang masyhur daripada Nabi Muhammad s.a.w. yang lunak bercampur serius dan tegas saya petik dari buku kecil ”Jadilah Seperti Muhammad s.a.w.”

Abdullah bin Umar memberitakan “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. berkata, Setiap orang daripada saudara-saudara sekalian adalah pengembala dan setiap orang ditanya berkaitan pengembalaannya. Pemimpin ialah pengembala dan ditanya berkaitan pengembalaannya. Lelaki ialah pengembala ke atas keluarga dalam rumahnya dan ditanya berkaitan pengembalaannya. Perempuan ialah pengembala di dalam rumah suaminya dan anak-anaknya serta ditanya berkaitan pengembalaannya. Pekerja pula ialah pengembala harta majikannya dan ditanya berkaitan pengembalaannya. Jadi, setiap orang antara saudara-saudara sekalian ialah pengembala. Semuanya akan disoal berkaitan pengembalaannya.”
(Direkodkan oleh Bukhari & Muslim)


Selamat ”mengembala” dan menjawab soalan. Tarikh soalan dikemukakan tak dapat dipastikan walaupun peperiksaan itu pasti lepas mati nanti. Cuma soalannya dah lama bocor. Bagi yang suka mengejar soalan-soalan bocor, haa.. inilah masanya untuk bersedia.


Berbalik kepada hal cikgu-cikgu. Siapapun tak berani menyatakan bahawa menjadi guru dalam zaman ini ialah kerja mudah. Barangkali menimbangkan secebis senario di atas pun ”bahang” kerja guru dah terasa.

Itupun seperti kata Cikgu Hamedah Wok Awang, ”lebih mudah mengasah mata parang”. Bagi sekolah yang terpaksa ”mengasah belakang parang” pula apa hal? Bukan sekolah pilihan. Bukan sekolah rancangan. Bukan sekolah projek. Bukan sekolah elit. Bukan sekolah itu dan ini yang hebat dengan kejayaan dan kecemerlangan.

Selamat mengasah, cikgu-cikgu.

Cuma jangan terkeliru dan salah anggap bahawa sekolah-sekolah yang berjaya serta hebat itu mudah mengembala murid. Allah sahaja yang tahu susah senang, jerih perit serta usaha yang dilakukan. Macam tengok itik atau angsa berenang begitu mudah dan tenang; hingga melahirkan idea puisi dan lagu yang indah-indah . Bagai meluncur, menggelungsur di permukaan air.

Hakikatnya, kalau ada lensa kamera di bawah air, tahulah kita bahawa kaki haiwan cantik itu berkayuh bagai nak rak! Macam tak ada esok. Macam nyawa mereka menjadi taruhan.

Selamat berkayuh sahabat-sahabat.

No comments:

Post a Comment